Tiga beradik diserah serta-merta kepada ibu kandung - Utusan Malaysia

Tiga beradik diserah serta-merta kepada ibu kandung

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga beradik yang kini di bawah jagaan persendirian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dikembalikan kepada ibu kandungnya serta-merta.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakan oleh ibu tunggal, Loh Siew Hong, 34.

Wanita tersebut serta ketiga-tiga anaknya iaitu pasangan kembar berusia 14 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun hadir di mahkamah hari ini bagi mendengar permohonan tersebut.

Sepanjang persidangan mahkamah, ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam bilik saksi dengan pengawasan pihak polis.

Sewaktu mengumumkan keputusannya, Hakim Collin berpuas hati bahawa pemohon telah diberikan hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap ketiga-tiga anaknya melalui perintah Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2021.

Ujar Hakim Collin, terdahulu Siew Hong turut diberikan hak jagaan dan kawalan sementara terhadap ketiga-tiganya pada 20 Disember 2019.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tiga beradik itu diserahkan kepada ibu kandungnya selepas berpendapat, perintah tersebut masih berkuat kuasa dan sah di sisi undang-undang.

Pada 13 Februari lalu, Siew Hong selaku pemohon memfailkan writ habeas corpus terhadap Nazirah Nanthakumari Abdullah selaku responden pertama dan pihak yang menahan ketiga-tiganya sebagai responden kedua.

Dalam permohonan itu, wanita tersebut menyatakan, walaupun telah memperoleh hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap anak-anaknya, hingga kini dia masih belum dapat bertemu mereka kerana didakwa disembunyikan oleh bekas suami, M. Nagahswaran.

Menurut writ berkenaan, Siew Hong dimaklumkan anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bayan Lepas, Pulau Pinang dan tidak dibenarkan bertemu mereka.

Ujar wanita itu, anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan diletakkan di bawah jagaan responden pertama dan/atau responden kedua.

Sehubungan itu, Siew Hong menyatakan tindakan responden pertama dan/atau kedua menyimpan anak-anaknya tanpa izin menjadikan mereka ditahan secara salah atau secara tidak patut.

Pemohon selanjutnya menyatakan dia mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa responden pertama dan/atau responden kedua mempunyai niat untuk mengislamkan anak-anaknya.

Mahkamah turut diberitahu, tiga beradik itu memeluk Islam pada Julai 2020 manakala ibu bapanya bercerai secara sah pada 2021.

Menurut laporan media, Siew Hong berpisah dengan Nagahswaran pada Mac 2019 dan dilaporkan melarikan tiga anaknya ketika ketiadaan bekas isteri dan menukar agama serta menempatkan mereka di pusat NGO.

Media turut menyatakan, Nagahswaran kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah.

Terdahulu, peguam A. Srimurugan yang mewakili Siew Hong berhujah, ketiga-tiga beradik itu sepatutnya dikembalikan kepada ibu kandung mereka kerana wanita itu telah mendapat hak penjagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap anak-anaknya.

Hujah peguam itu, tindakan responden-responden mengawal mereka dianggap sangat tidak menghormati perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Srimurugan menghujahkan, persoalan yang dibangkitkan hari ini bukan melibatkan isu agama atau konflik melibatkan undang-undang syariah, sebaliknya ia berkaitan pematuhan terhadap perintah mahkamah terdahulu.

Peguam itu selanjutnya berhujah, anak guamnya merupakan mangsa keganasan rumah tangga yang kemudiannya bercerai namun tidak dibenarkan bertemu anaknya yang telah terpisah, walhal dia telah mendapat hak jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal terhadap mereka.

“Wanita ini merupakan ibu yang tertekan dan berdukacita dan ketika ini dia langsung tidak dapat menghampiri anaknya walau satu sentimeter sekalipun,” ujarnya.

Sementara itu, peguam Aidil Khalid ketika berhujah mewakili responden pertama berkata, anak guamnya tidak wajar dinamakan sebagai pihak dalam permohonan tersebut kerana ketiga-tiga beradik itu bukan di bawah jagaan Nazirah.

Hujahnya, remedi bagi permohonan habeas corpus adalah penama perlu berada dalam tahanan salah secara fizikal oleh pihak yang menahannya.

Namun dalam prosiding hari ini, Aidil menyatakan, permohonan habeas corpus bukan lagi isu di hadapan mahkamah kerana ketiga-tiga beradik itu tidak ditahan secara salah oleh Nazirah.

Lagipun, ujar peguam itu, Siew Hong sendiri yang membuat keputusan agar anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan JKM.

“Jika ibunya sendiri yang memohon agar anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan JKM, bagaimana pula dikatakan bahawa mereka ditahan secara salah,” pertikai Aidil.

Ujarnya, wujud percubaan di pihak Nazirah untuk membawa ketiga-tiga mereka bertemu ibu kandung hasil komunikasi melalui aplikasi WhatsApp di antara anak guamnya dan Siew Hong.

Sehubungan itu, beliau menyatakan permohonan habeas corpus itu kini akademik kerana mereka tidak lagi berada dalam jagaan anak guamnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN