Tiada kerosakan, rekahan bangunan di Putrajaya akibat gegaran 

Tiada kerosakan, rekahan bangunan di Putrajaya akibat gegaran 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada kerosakan dan rekahan pada bangunan atau infrastruktur dikesan akibat gegaran di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini pagi tadi.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Nor Arifin Kamari ketika dihubungi, hari ini.

Nor Arifin berkata, sebanyak 16 bangunan membabitkan agensi dan kementerian diperiksa susulan gegaran itu.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dikendalikan oleh anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan Presint 14.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 telah memeriksa 12 bangunan manakala empat bangunan lagi diperiksa anggota Balai Bomba dan Penyelamat 14. Pemeriksaan bermula pukul 9.44 pagi dan siasatan mendapati, tiada kerosakan dan rekahan dikesan di semua bangunan berkenaan,” katanya.

Katanya, antara bangunan diperiksa termasuk Blok C4, Parcel C; Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Parcel B, Jabatan Perdana Menteri; Kompleks E Kementerian Kesihatan Malaysia; Suruhanjaya Tenaga, Presint 2 dan Wisma Sumber Asli, Presint 3.

Nor Arifin berkata, bangunan lain diperiksa termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Presint 4; Kementerian Wilayah, Presint 2; Jabatan Peguan Negara, Presint 4; Suruhanjaya Pilihan Raya, Presint 2; Kementerian Pengangkutan, Presint 4 dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Presint 4.

“Saya ingin menasihatkan penjawat awam supaya tidak panik dan bertenang serta mencari tempat perlindungan dan keluar dari bangunan apabila merasai gegaran. Selain itu, perlulah sentiasa peka dengan maklumat gempa bumi dan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia),” katanya.

MetMalaysia hari ini melaporkan gempa bumi kuat berlaku di Utara Sumatra, Indonesia pada pukul 9.39 pagi.

Gempa bumi berlaku di koordinat 0.2° Utara dan 100.0° Timur Magnitud 6.1 manakala jaraknya 76 kilometer (km) Barat Laut dari Payakumbuh dengan kedalaman 10 km.

Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia dan gegaran turut dirasai di bahagian Barat Semenanjung membabitkan Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya