KUALA TERENGGANU: Semua masjid di negeri ini diarah menyediakan kanopi yang mencukupi di ruangan luar bagi memberi peluang lebih ramai jemaah menunaikan solat Jumaat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas pada 11 Januari lalu susulan kebimbangan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin terhadap situasi kehadiran dan sikap segelintir jemaah lelaki yang sambil lewa.
Sehubungan itu katanya, ahli jawatankuasa (AJK) masjid perlu memainkan peranan berterusan dalam menggalakkan jemaah hadir menunaikan solat Jumaat.
“Penyediaan kanopi mencukupi itu melibatkan kawasan parkir masjid atau di ruangan kosong lain yang bersesuaian.
“Di samping itu, mana-mana masjid yang mempunyai ruangan solat bertingkat hendaklah dibuka bagi digunakan sepenuhnya untuk ibadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shaikh Harun turut meminta AJK masjid dan surau agar terus memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaiknya.
Katanya, penggunaan pengimbas suhu tidak lagi diwajibkan namun jemaah dikehendaki merekodkan butiran diri menerusi aplikasi MySejahtera atau ditulis di dalam buku yang disediakan.
“Mesyuarat bersetuju menangguhkan bacaan qunut nazilah ketika solat Jumaat dan solat hajat selepas Jumaat.
“Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui semua pejabat agama daerah turut diminta membuat pemantauan kehadiran ahli kariah lelaki ke masjid untuk solat Jumaat,” katanya. – UTUSAN