PUTRAJAYA: Kerajaan melanjutkan tempoh status lengkap vaksinasi dos penggalak Covid-19 sehingga 31 Mac ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu memberi peluang kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun mendapatkan dos pengalak.
“Sebelum ini, kita tetapkan pada 28 Februari ini, tetapi kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022.
“Keputusan itu menyaksikan bermula 1 April 2022, status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Dalam laporan eksklusif Utusan Malaysia, seramai 2.7 juta penerima vaksin premier Sinovac belum tampil mendapatkan dos penggalak yang menyebabkan status vaksinasi bertukar putih tidak lengkap atau berdepan sekatan jika gagal berbuat demikian pada 1 Mac ini.
Sebelum itu, Khairy berkata, pada tarikh berkenaan, status lengkap divaksinasi semua warga emas berusia 60 tahun ke atas tanpa mengira jenis vaksin dan penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun berakhir sekiranya belum masih menerima dos pengalak. – UTUSAN