JOHOR BAHRU: Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional akan mewajibkan lebih 25,000 usahawan di bawahnya mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kempen itu merupakan inisiatif proaktif memastikan jaringan perlindungan keselamatan sosial diperluaskan kepada golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS), khususnya dalam kalangan usahawan.
Tambahnya, kempen dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu bermatlamat meningkatkan kesedaran golongan usahawan mengenai kepentingan perlindungan keselamatan sosial serta simpanan masa depan.
“Sehingga kini seramai 16,830 usahawan Tekun Nasional telah mencarum dengan Perkeso, jadi menerusi kempen ini diadakan bagi mendokong matlamat untuk menarik lebih ramai usahawan untuk mencarum SKSPS.
“Saya juga berharap Tekun Nasional dapat pertimbang bagaimana semua usahawan diwajibkan untuk mencarum dengan Perkeso sepanjang tempoh pembiayaan, pada masa akan datang. Malah, bagi menggalakkan mereka mendaftar dengan Perkeso, Tekun Nasional akan menawarkan perkhidmatan pembiayaan caruman SKSPS sejumlah RM1,000 menerusi skim pembiayaan yang dibuat oleh usahawan Tekun Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan Tekun, di sini hari ini. Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Berdasarkan statistik sehingga 18 Februari lalu, seramai 360,469 iaitu kira-kira 15 peratus OBS daripada jumlah keseluruhan kira-kira 2.38 juta golongan itu di seluruh negara telah mencarum dengan SKSPS dan lebih RM6 juta telah dibayar kepada 2,142 penerima faedah dalam kalangan OBS.
Dalam pada itu, Saravanan menyambut baik dan menghargai sokongan yang dizahirkan Tekun Nasional untuk mendaftar dan mencarum para usahawan mereka seperti pengusaha, penjaja dan peniaga kecil.
“Saya juga yakin bahawa usaha untuk memberikan perlindungan sosial kepada mereka ini bukan sahaja akan disambut baik oleh para usahawan, malah akan turut memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka dan insan yang mereka sayangi sentiasa terjaga dan terpelihara,” ujarnya.UTUSAN