Tanjak laris, bahang Aidilfitri kian terasa - Utusan Malaysia

Tanjak laris, bahang Aidilfitri kian terasa

RASHIDI Abu Hasan menunjukkan tandak yang dihasilkannya yang semakin mendapat permintaan ramai terutama menjelang Aidilfitri di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti pembuatan tanjak tradisional kembali popular di pasaran berdasarkan jumlah tempahan yang semakin meningkat terutamanya menjelang Aidilfitri, Mei ini.

Rashidi Abu Hasan, 46, berkata, tempahan tanjak yang diterimanya mula meningkat meskipun Aidilfitri hanya disambut dua bulan lagi.

“Sebelum bulan puasa memang dah mula terima tempahan hampir 50 pasang dan dijangka terus meningkat. Ini menunjukkan pemakaian tanjak atau tengkolok semakin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai lebih-lebih lagi ketika musim perayaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Padang di sini semalam.

Katanya, arus pemodenan pemakaian tanjak kini yang sesuai dipadankan dengan pemakaian kasual selain busana Melayu tradisional seperti baju Melayu lengkap bersamping turut menarik ramai golongan lelaki memilih perhiasan tersebut.

“Sekarang pemakaian tanjak sudah dilihat sebagai trend dan sesuai dipakai dalam apa jua majlis keraian seperti perayaan, majlis perkahwinan mahupun upacara rasmi dan tidak rasmi,” kata bapa kepada dua anak itu.

Menjadikan bidang pembuatan tanjak sebagai sumber pendapatan sejak 2016, Rashidi melihat keunikan tanjak itu bergantung kepada teknik gubahan sama ada bermotif bunga mahupun haiwan dan jenis kain digunakan.

“Selalunya jenis tanjak yang ditempah ialah Tanjak Warisan seperti Balong Raja iaitu bentuk tanjak yang dipakai Sultan Selangor, Tanjak Ayam Patah Kepak iaitu seperti yang dipakai oleh Sultan Perak dan jenis Tanjak Nahkoda Terong yang lebih mirip kepada tanjak dipakai golongan laksamana ketika zaman Kesultanan Melayu.

“Malah material kain yang digunakan adalah jenis kain songket dan dijual pada harga RM100 ke atas manakala tanjak menggunakan kain kapas harganya RM50 ke atas bergantung kepada bentuk gubahan,” katanya.

Katanya, selain Tanjak Warisan, dia mendapat tempahan Tanjak Kreasi iaitu tanjak gubahan baharu yang belum terdapat dalam pasaran.

“Tanjak Kreasi yang saya hasilkan banyak berciri haiwan seperti burung, ayam dan sebagainya serta turut bermotifkan bunga antaranya Merbah Berlaga, Sirih Acheh dan Bunga Pudak yang memakan masa hampir sehari untuk disiapkan.

“Jika Tanjak Warisan, saya perlukan masa kira-kira satu jam (untuk disiapkan),” katanya sambil menambah, harga bagi Tanjak Kreasi adalah di antara RM150 sehingga RM200 setiap satu bergantung kepada gubahan dan material kain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN