KUALA LUMPUR : Disahkan positif wabak Covid-19, penyanyi, Luqman Faiz, 22, mengaku, ini adalah satu tempoh yang lama dia berada di dalam bilik sepanjang menjalani kuarantin di dalam rumahnya.
Menurut Luqman, dia menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari seorang diri dalam bilik memandangkan anggota keluarganya yang lain didapati negatif daripada dijangkiti wabak tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur, ibu bapa dan dua adik-beradik saya selamat dan tidak dijangkiti Covid. Dalam keadaan ini, saya sebenarnya sangat risau dengan keadaan ibu.
“Sebab, saya selalu luangkan masa dengan dia. Mujurlah keputusan ujian calitan ahli keluarga saya semua negatif.
“Sekarang ini saya kuarantin seorang diri dalam bilik. Inilah masa yang paling lama saya berada dalam bilik, kalau nak tahu,”katanya.
Menurut Luqman, dia bersyukur kerana keadaan kesihatannya kini semakin baik berbanding dua hari lalu yang menyaksikan dirinya demam teruk.
“Saya mula sakit tekak pada Isnin lalu. Rasa macam ada simptom, saya terus beritahu pada keluarga yang lain. Bila dah buat ujian calitan, ternyata memang saya positif Covid-19.
“Dua hari demam, saya memang terlantar saja dalam bilik, tak boleh nak bangun pun. Alhamdulillah, keadaan sekarang dah semakin baik. Saya kena habiskan tempoh kuarantin ini dengan baik,”katanya.