Tajuddin kalah kes saman fitnah Khalid dan dua lagi

Tajuddin kalah kes saman fitnah Khalid dan dua lagi

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini gagal dalam kes saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, portal video KiniTV dan akhbar New Straits Times (NST).

Ia selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman tersebut atas alasan oleh kenyataan yang dibuat Khalid dan disiarkan oleh KiniTV dan NST, enam tahun lalu tidak bersifat fitnah.

“Jika dilihat kepada kronologi kes secara keseluruhan, kontroversi dalam kes ini bermula dari ucapan seksis plaintif (Tajuddin) di prosiding Parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh (Teresa Kok). Kenyataan yang dibuat plaintif selaku Ahli Parlimen Pasir Salak dan juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tidak wajar dan mencemarkan institusi Parlimen yang merupakan salah satu institusi tertinggi negara.

“Mahkamah juga berpandangan kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi (protection of reputation) terutama dalam Sidang Parlimen yang dihormati perlu diberi perhatian walaupun imuniti diberikan,”kata Pesuruhjaya Kehakiman,  Datuk Seri Latifah Md. Tahar. 

Saman fitnah itu ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos.

Keputusan yang dibuat selepas perbicaraan penuh didengar disampaikan kepada pihak-pihak terlibat melalui emel. Perkara itu oleh peguam Sankara Nair yang mewakili Khalid.

KHALID ABDUL SAMAD

Menurut penghakiman ringkas tersebut, tindakan saman oleh Tajuddin selaku plaintif adalah berkaitan dengan dua sidang media yang dibuat oleh Khalid (defendan pertama) pada 21 November dan 24 November 2016.

“Kes ini berlaku dan berpunca dari ucapan yang dibuat oleh plaintif sendiri di Parlimen pada 21.11.2016 semasa sidang Parlimen yang mana plaintif telah mengeluarkan satu kenyataan, antara lain yang seksis, dan menggunakan bahasa tidak mengikut peraturan Parlimen (unparliamentary) dalam ucapannya sewaktu sidang berkenaan.

“Mahkamah mengambil notis kehakiman (judicial notice) bahawa perkataan yang digunakan merujuk kepada anggota sulit lelaki dan telah merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh. Mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat (vulgar) tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tiada timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu,” kata hakim berkenaan.

Tambahnya, tindakan Tajuddin enggan menarik balik kenyataan seksi dan mengejek ahli-ahli Parlimen pembangkang (ketika itu) juga telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.

“Mahkamah berpendapat kenyataan yang dikatakan fitnah oleh defendan pertama (Khalid) bukanlah suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu. Mahkamah berpendapat perkataan `sial’ yang digunakan defendan pertama adalah akibat daripada provokasi plaintif,”kata hakim itu.

Mahkamah turut menegaskan terdapat justifikasi terhadap komen yang dibuat oleh Khalid, merupakan komen yang adil, dibuat atas kepentingan awal dan dilindungi oleh keistimewaan bersyarat. Komen itu juga dibuat berikutan sikap keterlaluan plaintif sewaktu sidang parlimen itu.

Sementara itu, laporan yang dibuat oleh NST (defendan kedua) berhubung kejadian yang berlaku pada sidang parlimen terbabit merupakan laporan yang saksama dan tepat mengenai sesuatu mesyuarat awam (sidang parlimen).

“Mahkamah bersetuju bahawa tindakan defendan kedua hanya melaporkan tentang kejadian secara bona fide (niat baik) dengan adil dan tidak bersifat fitnah. Terdapat justifikasi munasabah terhadap laporan yang dibuat, serta laporan yang bertanggungjawab, laporan berbentuk komen yang adil terhadap kepentingan awam (public interest), dan dilindungi oleh perlindungan Reynold dan perlindungan bersyarat. 

“Mahkamah berpuashati bahawa tiadanya niat jahat atau malice dalam terbitan yang dibuat oleh Defendan Kedua.

Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, Mahkamah mendapati dua video yang disiarkan pada 24 November 2016 tidak mempunyai sebarang unsur fitnah.

Ujar Latifah dalam penghakimannya, video tersebut adalah mengenai kenyataan yang dibuat oleh defendan pertama dengan suci hati tanpa memihak kepada mana-mana pihak, adil dan tepat berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Khalid.

Tambahnya, laporan video tersebut adalah bersifat neutral dan adalah menjadi tanggungjawab profesional kewartawanan untuk melaporkan berita yang neutral dan benar terutama yang melibatkan kepentingan awam. 

“Defendan Ketiga telah menepati syarat dilindungi keistimewaan bersyarat dan tiada isu niat jahat (malice),” kata Latifah.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak memfailkan saman itu pada 26 April 2017 dengan menamakan Khalid, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd selaku defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutan, Tajuddin selaku plaintif mendakwa, Khalid mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.

Tajuddin mendakwa, kenyataan pertama Khalid diterbitkan NSTP melalui artikel bertajuk ‘Fury over Deputy Minister’s Remark’ pada 22 November 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 November tahun sama manakala kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di Youtube yang boleh diakses oleh orang ramai.

Dakwa Tajuddin lagi, kedua-dua kenyataan itu antara lain bermaksud, beliau tidak layak menjadi ahli Parlimen dan bertindak bertentangan dengan ajaran serta budaya Islam.

Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau menghantar anggota keluarganya termasuk anak, saudara-mara serta penyokongnya untuk menyerang defendan secara fizikal. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya