PETALING JAYA: Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar memutuskan tidak mahu terlibat dalam mana-mana parti politik.
Katanya, ini berikutan beliau ingin menumpukan sepenuh masanya dengan amalan guaman dan aktiviti dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Alhamdulillah, hari Jumaat ini saya telah membuat keputusan tidak terlibat atau menjadi ahli mana-mana parti politik.
“Saya akan menumpukan masa saya dengan kerja-kerja amalan guaman dan aktiviti NGO. Insya-Allah diberikan Allah taufik dan hidayah,” ciapnya dalam satu hantaran di Twitter.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu sebelum ini mengumumkan keluar dari UMNO pada 29 Jun 2018 dan menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum Pilihan Raya Umum-ke-14 (PRU-14).
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi mengumumkan meninggalkan UMNO kerana enggan berpura-pura kononnya keadaan dalam parti baik-baik sahaja selain mendakwa parti itu sudah lari daripada perjuangan asal. – UTUSAN