Stadium baharu Kedah tidak libatkan kewangan kerajaan - Utusan Malaysia

Stadium baharu Kedah tidak libatkan kewangan kerajaan

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tiga dari kiri) bergambar bersama wakil penaja Widad K-League 2022 di Alor Setar hari ini. Sanusi turut mengenai stadium baharu Kedah- UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pembinaan stadium baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Sungai Petani dekat sini tidak akan melibatkan kantung kewangan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kos pembinaan stadium tersebut sebaliknya ditanggung KDA FC sendiri yang bakal menjalinkan usaha sama (JV) bersama pihak tertentu.

Menurutnya, beliau menyedari terdapat pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan mengenai pembinaan stadium tersebut daripada beberapa aspek.

“Banyak orang yang komen (pembinaan stadium baharu), mereka tak tahu apa. Saya ada juga baca orang pertikai kononnya loji air tak siap, dah nak buat stadium pula.

“Sebenarnya tanah untuk membina stadium itu dah dibuat pengambilan sejak beberapa tahun lalu oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan kerajaan negeri yang mana lokasinya tak jauh dari litar lumba di Ambangan Heights.

“Tetapi duit untuk buat stadium itu tak ada lagi pada masa itu maka tanah tersebut terbiar sampai sekarang. Jadi baru-baru ini apabila KDA FC cadang hendak buat stadium di situ dan adakan JV dengan pihak tertentu, maka kita setujulah dan bukannya pakai duit kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Widad K-League 2022 di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Liga tersebut merangkumi lima kejohanan bola sepak termasuk futsal dan bola sepak pantai yang akan dipertandingkan di seluruh Kedah bermula Februari 2022 hingga Disember depan.

Stadium baharu

KDA FC baru-baru ini mengumumkan pembinaan stadium baharu dilengkapi pelbagai kemudahan canggih termasuk pusat latihan dan fasiliti bola sepak moden di Sungai Petani

Menerusi dokumen Prospektus Kelab 2022 yang dimuat naik di laman web rasmi mereka, KDA FC menyatakan bahawa kelab itu mempunyai projek masa depan bagi membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta selain sebuah tempat latihan dianggarkan menelan kos RM20 juta.

Muhammad Sanusi menambah, beliau akan membawa perkara itu ke dalam mesyuarat Exco dan menyifatkannya sebagai kerjasama pintar yang baik untuk semua pihak.

“Tanah itu milik MPSPK serta kerajaan dan disebabkan itu, akan ada kawasan khusus nanti di situ yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.

“Sungai Petani itu kedudukannya di tengah-tengah Kedah dan lebuh raya pun ada di situ. Jadi tidaklah jauh sangat kalau hendak ke sana,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya