SHAH ALAM: Bandaraya Shah Alam bersedia untuk menganjurkan kejohanan sukan bertaraf nasional dan antarabangsa selepas Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) berjaya diadakan di Setia Alam baru-baru ini.
Menurut Datuk Bandarnya, Datuk Zamani Ahmad Mansor, untuk kejohanan BATC pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hanya membantu dalam aspek logistik.
“Kejohanan BATC kita membantu aspek logistik kerana pertandingan tersebut lebih kepada negeri atau Majlis Sukan Negeri (MSN). Kita kini bersama kerajaan negeri ingin menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan yang mana sebelum ini kita ada badminton bulan depan kita ada bola tampar,” katanya kepada pemberita selepas sidang akhbar Kejohanan Liga Bola Tampar Malaysia (MVL) di Wisma MBSA semalam.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor dilapor bersedia menganjur pelbagai kejohanan sukan berskala sederhana di peringkat daerah mulai tahun ini dengan menyasarkan penyertaan luar negara.
Exco Sukan dan Generasi Muda Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, inisiatif bagi menyemarak semangat kesukanan tersebut dijayakan dengan kerjasama Tourism Selangor mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Mengulas mengenai MVL, Zamani berkata, MBSA dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dan Astro Arena sebagai penyiar rasmi akan menganjurkan Kejohanan MVL 2022 pada 8 Mac sehingga 13 Mac depan bertempat di Dewan Bola Tampar Seksyen 4, Shah Alam.
Zamani berkata, kejohanan tersebut merupakan kejohanan peringkat kebangsaan di mana ia melibatkan penyertaan pasukan dari dalam negara yang terdiri daripada lapan pasukan jemputan iaitu pasukan Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Kejohanan ini juga akan turut melibatkan penyertaan pemain dari luar negara bagi setiap pasukan. Johan bagi Kejohanan MVL 2022 tersebut akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 tempat pertama, RM10,000 (kedua), RM8,000 (ketiga), RM4,000 (keempat) dengan jumlah keseluruhan hadiah ditawarkan sebanyak RM42,000 berserta pingat,” katanya. – UTUSAN