SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju sekiranya Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat kuarantin terhadap kontak rapat Covid-19 sebagai usaha melangkah ke fasa hidup bersama virus tersebut.
Malah, orang ramai juga dinasihatkan supaya bersedia kepada langkah untuk berpindah daripada fasa pandemik kepada endemik dengan mengadaptasi kehidupan dalam kebiasaan baharu serta memastikan diri menerima suntikan vaksin termasuk dos penggalak.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, beliau yakin dengan tindakan kementerian itu berdasarkan cadangan daripada pakar yang membuat kajian berdasarkan situasi sebenar penularan Covid-19.
“Sebab bila kita sudah bebas bergerak macam hari ini, kita tak akan boleh elak menjadi kontak rapat. Jadi takkanlah setiap kali hendak kuarantin, maknanya nanti kerja kita tidak berjalanlah. Saya bersetuju dengan Kementerian Kesihatan.
“Betul kita sekarang dalam fasa daripada pandemik menuju ke endemik, itu adalah perjalanan yang biasa. Memang itulah arahnya cuma belum diisytiharkan, apa pun saya nasihatkan kepada rakyat khususnya di Selangor sila berjaga-jaga. Lindungi diri lindungi keluarga,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin memberitahu, kelonggaran terhadap kontak rapat kepada pesakit Covid-19 akan diumumkan pada minggu depan walaupun gelombang penularan varian Omicron sedang berlaku dengan peningkatan jumlah pesakit.
Beliau berkata, syarat terhadap kontak rapat dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) sekarang menyebabkan gangguan ketara kepada ekonomi dan pengurusan pekerja.
Malah, menerusi pekeliling daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Khairy turut memaklumkan pekerja-pekerja kesihatan yang menjadi kontak rapat kini tidak perlu lagi menjalani isolasi sebaliknya melakukan saringan pada hari-hari tertentu.
Sementara itu, dalam perkembangan jangkitan Covid-19 di Selangor, Dr. Siti Mariah menyatakan kadar penggunaan katil bagi pesakit berkenaan berdasarkan kepada jumlah katil disediakan di wad biasa dan unit rawatan rapi (ICU) hospital di Selangor masih dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, penggunaan katil bagi kedua-dua wad itu berada pada sekitar 80 dan 60 peratus pada minggu lalu.
Jika dibandingkan dengan laporan terkini, penggunaan wad biasa dan ICU di semua hospital di Selangor kini berada pada tahap 71 serta 65 peratus, iaitu berlaku penurunan sebanyak sembilan peratus di wad biasa dan peningkatan di ICU sebanyak lima peratus.
“Laporan terakhir pada minggu lepas, 60 peratus daripada katil ICU untuk kes Covid-19 dan 80 peratus untuk katil biasa, maknanya tak penuhlah yang kita sudah sediakan untuk pesakit itu,” jelasnya.
Terdahulu, Dr. Siti Mariah menyampaikan sijil kepada 180 graduan Kohort 1 dan 2 Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang bergraduasi dalam majlis konvokesyen pertamanya di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini. – UTUSAN