Seni pembuatan kuih tradisional diabadikan dalam setem khas

Seni pembuatan kuih tradisional diabadikan dalam setem khas

kuih tradisional
TANGKAP layar setem khas yang bertemakan ‘Seni Pembuatan Kuih Tradisional’ terbitan Pos Malaysia Berhad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebilangan besar generasi muda ketika ini mungkin kurang mengenali pelbagai jenis hidangan warisan kuih lama yang amat popular di negara ini.

Sehubungan itu, Pos Malaysia Berhad mengambil inisiatif tampil menawarkan koleksi setem istimewa bertema Seni Pembuatan Kuih Tradisional yang mula dijual sejak semalam.

Setem khas tersebut memaparkan lima jenis kuih tradisi Melayu yang masih lagi terkenal iaitu Kuih Akok, Kuih Bakar, Kuih Kapit Kuih Jala dan Kuih Baulu.

Menurut kenyataan agensi pos kebangsaan itu, setem tersebut menyerlahkan keunikan bahan lama yang digunakan untuk pembuatan kuih.

“Antara ditampilkan dalam setem itu ialah acuan loyang pelbagai bentuk dan saiz, di samping penggunaan sabut dan tempurung kelapa serta arang untuk bakar kuih. Keluaran terbaharu ini didatangkan dengan dua pasang setem membentuk kumpulan berempat iaitu Kuih Akok dan Kuih Bakar (30 sen) serta Kuih Kapit dan Kuih Jala (RM1.50).

Sementara Kuih Baulu pula yang bernilai RM5 sekeping dipaparkan berasingan dalam bentuk lembaran mini secara eksklusif dengan keseluruhan satu set lengkap itu berharga RM56.60. Peminat filateli akan turut menerima dua keping sampul surat hari pertama masing-masing mengandungi setem dan lembaran mini serta satu folder menunjukkan lima kuih berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di kesemua pejabat pos besar di setiap ibu negeri selain membelinya daripada sejumlah 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia Berhad termasuk pejabat pos di kebanyakan bandar besar seluruh negara serta empat buah institusi pengajian tinggi awam sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Peminat filateli juga boleh melakukan tempahan pembelian secara dalam talian menerusi pautan daripada laman sesawang rasminya iaitu https://bit.ly/setemsenipembuatankuihtradisional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN