KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Erra Fazira memberitahu dia bersedia berkongsi gaya kehidupannya di platform media sosial seperti Youtube dan sebagainya.
Kata Erra, itu adalah perancangan yang sedang diusahakan tahun ini selain menyiapkan album dan mengembang luas perniagaan tudung, Heyrra.
“Saya baru nak set up team untuk kandungan media sosial. Sebagai permulaan, saya akan kongsikan tentang gaya hidup, motivasi. Kemudian nanti, baru ada perancangan lain.
“Saya okey untuk berkongsi tentang kehidupan. Tetapi, tentu ada garis panduan yang betul.
“Sebenarnya saya lebih berminat untuk memberi semangat motivasi dengan orang lain. Pendekatan saya lebih ke arah itu,” katanya.
Erra berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran filem terbaru, Rumah.
Filem arahan mendiang Kay itu turut menampilkan pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis.
Bercakap tentang filem tersebut, aktres jelita ini mengakui watak dan penceritaan menjadi faktor yang menarik minatnya untuk menerima tawaran untuk berlakon dalam filem berkenaan.
“Skripnya tentang ibu tunggal, membesarkan anak yang ingin mulakan semula kehidupan namun berdepan gangguan.
“Situasi seperti itu dekat dengan diri saya,” katanya lagi. – UTUSAN