PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan terus ratib nama Datuk Seri Najib Tun Razak atau sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam surat kedua beliau kepada pengundi Johor hari ini.
Dr. Mahathir berkata, setelah surat yang pertama, Najib menyindirnya kerana mula ratib namanya bermakna beliau sudah benar-benar pulih.
“Sebenarnya, saya amat malu meratib nama Najib. Dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya, dia sendiri tidak malu, malah, berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
“Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya,” katanya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, ada yang terpengaruh dan percaya dan tampil mempertahankan Najib, malah, sanggup memanggilnya Boss, dan cium tangannya.
Katanya, perlu dijelaskan bahawa sebelum berlakunya skandal 1MDB, beliau menyokong Najib malahan apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi lambat melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau telah memberi tekanan terhadap Abdullah selepas diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Akhirnya, Abdullah lantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Selain percaya Najib layak, saya juga terhutang budi kepada bapanya, Tun Abdul Razak kerana dia membantu kerjaya politik saya.
“Malangnya, Najib bukan seperti bapanya. Tun Abdul Razak seorang nasionalis dan pejuang bangsa yang bermaruah. Najib pula curi harta negara dengan bantuan Jho Low,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, surat khabar luar negara menggelar Najib ‘Plundering Idiot’, dalam bahasa Johor, beliau percaya ia bermaksud penyamun tongong.
Malah, katanya, Mahkamah Rayuan pula menghukum dia sebagai ‘National Embarassment’, orang yang memalukan negara.
Walaupun begitu, kata beliau, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapat kembali kekuatan politik dan percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas diri dari hukuman.
“Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak.
“Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib. Perlu saya ingatkan, ketika skandal 1MDB memuncak, adik Najib, Tan Sri Nazir Razak sendiri datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah yang telah dilakukan,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah yang dilakukan oleh abangnya dan tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah.
“Banyak lagi yang ditulis oleh Nazir yang dedahkan skandal Najib ini secara terperinci,” katanya. –UTUSAN ONLINE