TEMERLOH: Ketika banjir pertengahan Disember tahun lalu, Sarang Naga 76, sebuah kawasan agropelancongan yang turut menempatkan zoo mini di Kampung Ketam, Kerdau di sini mengalami kerugian kira-kira RM100,000 akibat kerosakan dialami ekoran musibah itu.
Ia memberikan impak cukup besar selepas kerugian RM150,000 dalam kejadian banjir pertama kali pada awal tahun lalu.
Kerugian melibatkan kerosakan infrastruktur selain kehilangan haiwan peliharaan seperti pelbagai jenis unggas yang diimport dari luar negara dan landak.
Namun begitu, musibah itu tidak mematahkan semangat dua pengusaha Sarang Naga 76, Shaiful Ridzuan Abu Bakar, 43, dan Mazlan Omar, 56.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Shaiful Ridzuan berkata, dalam kejadian pertama banjir awal tahun lalu, mereka yang pertama kali berdepan musibah berkenaan mengalami kerugian besar kerana terpaksa melepaskan haiwan peliharaan yang berada dalam sangkar.
“Beberapa jenis unggas yang terdapat di sini termasuk ayam termahal dunia terpaksa dilepaskan,” katanya di sini semalam.
Shaiful Ridzuan berkata, pada kejadian banjir kali kedua Disember tahun lalu, mereka berjaya menyelamatkan semua haiwan peliharaan di zoo mini Sarang Naga 76 yang terdiri daripada pelbagai jenis unggas termasuk ayam import, ayam belanda, merak, merpati, kuang selain turut memiliki pelbagai jenis landak, arnab, rusa dan kambing.
“Kami akui kawasan ini memang kawasan mudah dinaiki air dan kami tidak sedia menghadapi kejadian pada awal tahun lalu namun semua haiwan berjaya diselamatkan dalam banjir kali kedua.
“Dalam sangkar yang dibina, terdapat ruang yang kami sediakan untuk haiwan-haiwan ini menyelamatkan diri di mana apabila berlaku banjir, kami akan turunkan tangga di ruangan atas sangkar,” katanya.
Jelasnya, kejadian banjir tahun lalu turut menyebabkan keadaan zoo mini terbabit sedikit tidak terurus selain beberapa tanaman perhiasan mati.
“Insya-Allah kami dalam usaha mencantikkan kembali zoo mini ini dengan menanam semula pokok yang telah mati selain menambah beberapa haiwan ternakan terutama yang hilang ketika banjir awal tahun lalu,” katanya yang merancang untuk membuka kembali operasi agropelancongan Sarang Naga 76 selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu beliau berkata, Sarang Naga 76 merupakan perusahaan agropelancongan pertama terdapat di daerah ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan pelancongan buat peminat hidupan dalam ladang.
“Kami menggunakan konsep penginapan dalam ladang yang mana selain terdapat zoo mini, kami juga dalam pembinaan beberapa buat chalet dan rumah pokok sebagai daya tarikan pengunjung untuk menginap di sini.
“Pengunjung berpeluang menikmati kehidupan dalam ladang bersama haiwan ternakan di sini selain turut menikmati pelbagai juadah yang disediakan di restoran kami,” katanya.
Selain zoo mini, beliau berkata, Sarang Naga 76 yang berasal daripada nama kelab motosikal Dragon 76 MC turut memiliki restoran, Sarang Makan.
“Sarang Makan menyediakan juadah eksotik seperti daging rusa dan arnab selain ikan sungai yang jarang diperoleh. Pengunjung boleh membuat tempahan dahulu untuk menikmati juadah ini.
“Selain membuka Sarang Makan dari pukul 7 pagi hingga 3 petang, kami juga membuka ruang buat peminat aktiviti sukan lasak seperti mountain bike dan All Terrain Vehicle (ATV) menjalankan aktiviti mereka di sini selain memiliki Sarang Lepak untuk pengunjung bersantai sambil menikmati juadah Barat,” katanya. – UTUSAN