Sanggup bawa rokok seludup demi upah RM200 - Utusan Malaysia

Sanggup bawa rokok seludup demi upah RM200

SEBAHAGIAN rokok seludup yang berjaya dirampas polis dalam operasi berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Demi mendapatkan upah sebanyak RM200, seorang juruteknik sanggup menjadi transporter membawa rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM40,000 dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Pergerakan lelaki berusia 39 tahun itu bagaimanapun berjaya dikesan dan diberkas polis kira-kira pukul 3.30 petang di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek diberkas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Hasil maklumat awam, polis telah mengekori dan menahan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipandu suspek berhampiran Taman Botanikal, Ayer Keroh. Pemeriksaan dalam kenderaan telah menemukan 492 karton mengandungi 73,056 batang rokok dipercayai tanpa cukai untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa hanya bertindak sebagai transporter dan segala urusan penghantaran dilakukan mengikut arahan diberikan individu tidak dikenali menerusi telefon.

“Dia yang bekerja dan menetap di Kuala Lumpur telah datang ke Melaka untuk mengambil MPV tersebut yang diparkir di kawasan Malim dan membawanya ke pusat bandar, seperti diarahkan. Suspek juga mengaku menerima upah RM200 bagi setiap penghantaran ke Kuala Lumpur dan telah melakukan kerja itu sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, lokasi penghantaran rokok itu bagaimanapun hanya akan diberikan kepada suspek selepas kenderaan itu berjaya melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 19 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya