Salah guna wang rampasan, pegawai SPRM dipenjara, sebat

Salah guna wang rampasan, pegawai SPRM dipenjara, sebat

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rumah, jam tangan mewah, dua bidang tanah, kereta pacuan empat roda dan motosikal berkuasa tinggi.

Itu merupakan antara barangan yang dibeli secara tunai oleh Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shahrum Nizam Baharuddin selepas menyalah gunakan wang rampasan agensi tersebut berjumlah AS$6.94 juta, empat tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh turut meminta seseorang untuk menyimpan wang tumai sebanyak RM1.4 juta (sebahagian yang telah ditukar kepada Ringgit Malaysia) sebagai `persediaan’ untuk dijadikan modal perniagaan kayu balak.

Hari ini, lelaki berusia 41 tahun itu dihukum penjara tiga tahun dan sebat dua kali selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan dengan curangnya menggunakan AS$6.94 juta untuk kegunaan sendiri di antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019 di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya.

Pertuduhan pilihan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan sebat.

Pada 4 Januari lalu, Shahrum Nizam didakwa atas tuduhan pecah amanah wang rampasan jumlah sama dan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 26 Ogos 2018, tertuduh telah dilantik untuk menjadi Ketua Operasi dalam Ops Dinar 2 berkaitan dengan penyiasatan ke atas bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disyaki telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik Kerajaan Malaysia.

Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan ketika itu ialah Datuk Hasanah Ab. Hamid yang sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah mencecah AS$12.1 juta milik kerajaan. Wanita terbabit kemudian telah dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.

Dalam operasi dan serbuan yang dibuat, SPRM telah merampas sejumlah AS$6.94 juta daripada beberapa lokasi termasuk dari sebuah kondominium di Cyberjaya dan pekarangan tempat letak kenderaan Hotel Shangri-La Putrajaya.

Wang rampasan tersebut kemudian telah diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.

Pada 17 Disember 2018, Shahrum Nizam telah meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan tersebut untuk pengiraan semula dan disahkan ketulenannya.

Sebanyak AS$1.9 juta daripada jumlah keseluruhan wang rampasan diserahkan kepada tertuduh bagi tujuan itu tetapi Shahrum Nizam hanya mengambil AS$800 ribu manakala bakinya diserahkan semula pada KC CTK.

Sebaik sahaja mengambil wang tersebut, Shahrum Nizam telah membawa wang AS$800 itu keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seseorang di ota Damansara. Hasil tukaran pada ketika itu ialah RM1.6 juta.

Pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan yang berada dalam simpanan KC CTK untuk proses pengiraan semula dan pemeriksaan keselamatan. Selepas diserahkan, Shahrum Nizam telah membawa keluar wang tersebut untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.

Penukaran kali kedua tersebut membabitkan wang sebanyak AS$2,470,000 yang mana hasil tukaran ialah sebanyak RM9,880,000. Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan oleh kenalannya untuk dijadikan modal perniagaan.

Daripada jumlah AS$6.96 juta wang rampasan yang diambil tertuduh, sebanyak RM2.7 juta telah digunakan Shahrum Nizam untuk membeli secara tunai sebuah rumah dua tingkat setengah bernilai RM750,000, lapan utas jam pelbagai jenama (RM397,580), dua buah motorsikal Ducati, kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang (RM483,220), kereta Honda Civic Type R (RM290,030) dan Mercedes Benz A250 Sport bernilai RM130,000.

Perbuatannya terbongkar apabila pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya wang eksibit yang dirampas dalam kes terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk wang USD6.94 juta tersebut dipulangkan semula kepada bahagian tersebut.

Selepas diserahkan, pemeriksaan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RD JPM, Mohd Yani Daud mendapati wang rampasan dalam Dolar Amerika itu diragui ketulenannya selepas mendapati ada di antara not-not wang tersebut hanya bercetak pada sebelah permukaan sahaja, mempunyai nombor siri yang sama, warna yang tidak seragam dan berkualiti rendah.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam bela Shahrum Nizam, Ahmad Hafiz A. Bakar memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman yang ringan memandangkan tertuduh telah insaf dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Tertuduh pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sebanyak empat kali sejak berkhidmat dalam SPRM dan dia meminta maaf atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulanginya,” kata peguam itu.

Ahmad Akram bagaimanapun memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana perbuatan Shahrum Nizam telah mencemarkan nama baik SPRM dan membabitkan jumlah yang besar.

Timbalan Pendakwa Raya itu juga memohon agar kesemua barangan dan wang tunai yang dirampas daripada tertuduh hasil daripada wang AS$6.94 juta itu dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.

Selepas menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021 dan sebat dua kali, Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk lucut hak aset-aset dan barang yang dibeli menggunakan wang rampasan tersebut termasuk wang tunai AS$4.6 juta dan RM1.6 juta. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN