Rosmah pentingkan kesempurnaan - Siti Azizah - Utusan Malaysia

Rosmah pentingkan kesempurnaan – Siti Azizah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan sebagai ketua yang mementingkan kesempurnaan dan sentiasa mahukan yang terbaik berhubung pengendalian tugas.

Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72, berkata, isteri bekas Perdana Menteri yang dikenali sejak menuntut di universiti juga merupakan `boss’ yang sangat teliti menyebabkan beliau menganggap tugas di bawah Rosmah sebagai satu cabaran.

Saksi pembelaan kedua yang juga bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dan boleh diselesaikan melalui perbincangan.

Ujar Siti Azizah, suatu ketika beliau pernah menasihati seorang bekas pegawai media di FLOM, Datuk Rizal Mansor supaya menjaga disiplin bersesuaian dengan tugasnya di JPM yang merupakan jabatan tertinggi negara.

Rizal yang juga saksi pendakwaan ke-21 melapor tugas kepada Siti Azizah selain bertugas sebagai Penolong Pegawai Tugas-Tugas Khas di JPM.

Menurut Siti Azizah, Rosmah pernah mengadu mengenai masalah disiplin yang dihadapi oleh Rizal selain sering mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada pihak atasan terlebih dahulu.

Rosmah ketika membela diri pada 5 Oktober 2021 menyelar perlakuan Rizal yang disifatkan sebagai tidak cekap, mempunyai masalah disiplin, culas, lalai dan sentiasa memerlukan pemantauan selain gagal menulis teks ucapan dengan baik.

Ujar saksi, Rizal sepatutnya mendapat kelulusan atau persetujuan daripada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad (ketika itu) sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur politik melibatkan Rosmah.

Kata Siti Azizah, meskipun tugasnya mempertahankan Rosmah yang terdedah kepada serangan kritikan, Rizal tidak boleh melakukannya secara berseorang sebaliknya perlu mendapat persetujuan Tengku Sharifuddin.

Ujar beliau, Tengku Sharifuddin ketika itu ialah pegawai media kanan di JPM manakala Rizal pula menjalankan tugas-tugas media melibatkan Rosmah di FLOM.

“FLOM mengendalikan urusan media, namun sebarang fakta berbaur politik, mesti mendapat persetujuan JPM dan tidak sesuai dikendalikan oleh bahagian saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, Siti Azizah tidak bersetuju bahawa Rizal merupakan kakitangan yang tidak berguna.

Menurut beliau, Rizal berjaya mewujudkan hubungan baik dengan pihak media walaupun tidak mampu menyumbang dalam aspek lain seperti menghasilkan ucapan yang memerlukan kemahiran.

Siti Azizah memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah Rosmah, 70, yang didakwa atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Rizal melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN