Rombakan percepat projek PR1MA

Rombakan percepat projek PR1MA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) membuat rombakan dan perancangan semula kerja-kerja di tapak bagi mempercepatkan penyiapan projek-projek perumahan di bawah perbadanan itu yang mengalami kelewatan.

Itu antara strategi intervensi dan mediasi projek PR1MA termasuk mengambil alih pengurusan projek daripada kontraktor bermasalah, mengurus dan membuat pembayaran terus kepada pembekal, perunding dan sub-kontraktor projek.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Shariff berkata, sejak penubuhan PR1MA sedekad lalu, pihaknya telah dan sedang melaksanakan 61 projek dengan jumlah unit 49,401 di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut kata beliau, sebanyak 35 projek yang merangkumi 27,821 unit siap dibina.

“Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dalam proses pembinaan, sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020 sehingga kini, PR1MA berjaya menyiapkan 12,717 unit kediaman di 15 lokasi projek di seluruh negara.

“Kami sedar kelewatan ini menyebabkan pembeli mengalami kesukaran, namun kita berusaha memastikan pelan mitigasi projek-projek sakit terutamanya yang terkesan akibat penutupan sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada dalam senarai keutamaan,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong mendakwa, walaupun pem­­beli rumah PR1MA dijanjikan pampasan dan moratorium jika berlaku projek ‘sakit’, tiada jaminan mereka akan mendapat rumah idaman dalam tempoh terdekat.

Ekoran itu, ramai pembeli yang menaruh kepercayaan terhadap PR1MA yang sebelum ini menyasarkan pembinaan 500,000 rumah dan dijual dengan harga berpatutan, namun selepas hampir 10 tahun, sasaran itu tidak tercapai, malah terdapat 21 projek sakit yang menyebabkan ribuan masih menunggu kunci rumah.

Dalam hal itu, Mohd. Nazri berkata, PR1MA mengambil maklum akan keresahan pembeli rumah PR1MA yang sedang mengalami kelewatan dan pihaknya sudah mengarahkan kontraktor untuk segera menyiapkan kediaman-kediaman PR1MA berdasarkan sasaran tarikh siap baharu.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui kelewatan untuk projek siap tidak dapat dielakkan, tetapi hak pembeli tetap dilindungi dengan pembayaran Sebahagian Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (PLAD) yang diberikan kepada pembeli secara berperingkat.

Menurut beliau, bagi pembeli di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), agensi berkenaan bersetuju memberi penjadualan semula kepada pembeli dalam kaedah ‘case-to-case basis’ di mana pembeli perlu membuat permohonan kepada LPPSA dan pihak PR1MA mengeluarkan surat sokongan mengenai status projek.

Buat masa ini katanya, tawaran penjadualan semula pembayaran perumahan dipertimbangkan bagi projek-projek dalam senarai ‘projek sakit’ yang dikategorikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pelbagai langkah dan strategi telah dan akan dilaksanakan untuk meredakan keresahan rakyat, sekali gus mengembalikan keyakinan pembeli dan masyarakat kepada PR1MA secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata, ketika PKP dilaksanakan pada 2020, pembinaan di tapak terpaksa diperlahankan dan memberi kesan bukan sahaja kepada PR1MA tetapi kepada seluruh industri perumahan negara.

Namun katanya, dengan pembukaan semula ekonomi sejak suku ketiga tahun lalu, PR1MA berusaha merancakkan semula pembinaan di tapak supaya kelewatan yang terjadi tidak membebankan pembeli.

“PR1MA, sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan pemilikan rumah mampu milik dalam kalangan rakyat, terutamanya M40 kekal komited dalam menyiapkan semua projek dengan baik dan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya