Rokok, arak tidak bercukai RM152,000 dirampas  - Utusan Malaysia

Rokok, arak tidak bercukai RM152,000 dirampas 

TAKTIK seorang peniaga menggunakan sebuah stor dan semak di belakang rumah di Pantai Acheh, Balik Pulau, Pulau Pinang untuk menyimpan rokok dan arak tidak bercukai gagal apabila berjaya dikesan Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Taktik seorang peniaga menggunakan sebuah stor dan semak di belakang rumah di Pantai Acheh di sini untuk menyimpan rokok dan arak tidak bercukai gagal apabila berjaya dikesan Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, menerusi Op Kontraban itu, pihaknya menemukan 531 karton rokok dan 688 liter arak dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM152,717.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang disyaki bertindak sebagai pembekal rokok dan arak tidak bercukai kepada kedai-kedai runcit berhampiran turut ditahan kira-kira pukul 6 petang.

“Ketika serbuan dijalankan suspek yang bergerak bersendirian dalam kegiatan ini berada di rumah berkenaan dan sedang memasak. Setelah diperiksa, pasukan kami menemukan arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu di dalam stor serta di dalam semak di belakang rumah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua rokok dan arak yang disembunyikan itu hanya ditutup menggunakan kanvas bagi mengelak dilihat orang ramai.

“Ketika serbuan, tiada pergelutan berlaku antara polis dan suspek, siasatan lanjut mendapati bekalan yang dirampas dipercayai untuk pasaran ke kedai-kedai runcit berdekatan kawasan berkenaan. Suspek juga tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya