M188 juta bina 513 rumah kuarters tentera di Kem Lok Kawi

RM188 juta bina 513 rumah kuarters tentera di Kem Lok Kawi

ARTHUR Joseph Kurup (dua kanan) mendengar taklimat daripada anggota tentera Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 513 rumah kuarters dan bangunan sokongan akan dibina menerusi projek pembinaan rumah kuarters tambahan angkatan tentera kelas Kem Lok Kawi.

Projek tersebut akan dilaksana dengan peruntukan sejumlah RM188 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan projek  itu membuktikan komitmen kerajaan dalam usaha memperkasa dan membela kebajikan anggota, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga mereka terutama dari sudut perumahan serta perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, sekiranya projek itu siap kelak, anggota tentera di Kem Lok Kawi akan dapat menikmati rumah yang lebih selesa untuk diduduki bersama keluarga.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pensiangan itu mengingatkan pihak kontraktor agar mematuhi syarat-syarat yang termaktub dalam kontrak bagi memenuhi ekspektasi pelanggan.

“Projek- projek ini adalah projek yang melibatkan fasiliti awam demi kepentingan rakyat. Justeru, pelaksanaan projek wajib mematuhi spesifikasi dan kriteria yang ditetapkan agar projek yang diserahkan nanti berkualiti, mengikut jadual dan kos yang telah ditetapkan,” katanya semasa menyaksikan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) projek pembinaan rumah kuarters Angkatan Tentera, di Markas Divisyen Kelima Infantri, Kem Lok Kawi, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sehingga kini, kementerian itu telah mengeluarkan 137 SST bernilai RM4.6 bilion melepasi sasaran yang telah ditetapkan mengikut indeks prestasi utama (KPI) Aspirasi Keluarga Malaysia.

Pada tahun lalu pula, sebanyak 392 SST telah dikeluarkan membabitkan peruntukan sebanyak RM18.6 bilion.

Jelas beliau, pengeluaran kesemua SST itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan kepada sektor pembinaan sebagai salah satu sektor penting yang menjadi teras pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

“SST yang dikeluarkan penting dalam usaha merancakkan ekonomi negara terutamanya ketika kita beralih kepada fasa pemulihan ekonomi.

“Kitaran ekonomi dalam industri pembinaan akan memberikan nilai pengganda yang banyak kepada ekonomi negara dan seterusnya memberikan manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya