SEREMBAN: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan terus mencari lokasi-lokasi sesuai sebagai tempat penanaman bijirin termasuk jagung untuk dijadikan makanan ternakan.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, projek tersebut telahpun dimulakan iaitu di kawasan tanah seluas kira-kira 404 hektar di Sintok, Kedah.
“Risda memang sudah ada ternak lembu dan memproses makanannya. Kami ada kilang-kilang sawit yang kita jadikan dedak isirung sawit (PKC) untuk dibuat makanan ternakan.
“Kami mahu lihat mana-mana lokasi yang sesuai, Risda ada 3,000 ekar tanah dan 1,000 ekar di Sintok yang sudah ditanam jagung untuk makanan ternakan. Insya-Allah, Risda telah memulakan dan menerusinya kami mahu pekebun kecil juga dapat manfaatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan kembali ke sekolah menerusi program Happy To School di Kampung Rawa, Lenggeng di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun kebelakangan ini bagaimanapun tidak menjejaskan pekebun-pekebun kecil di bawah Risda.
“Kenaikan harga racun dan sebagainya memang jelas iaitu sehingga 40 peratus jadi ia memberi impak kepada pekebun kecil tetapi bagi pekebun kecil Risda, kami akan bertanggungjawab menyediakan baja, racun dan sebagainya jadi tidak ada kesan untuk mereka.
“Namun bagi Risda ya, memang memberi kesan dan Risda terpaksa meningkatkan kami punya peruntukkan untuk produktiviti, bahan sokongan kepada tanaman.
“Ia memberikan kesan kepada kami tetapi insya-Allah Risda mempunyai kontrak langsung bersama beberapa pengeluar yang masih boleh mengekalkan harga,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Salim berkata, Risda akan membina sebanyak 27 buah lagi depo pengumpulan lateks di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM1.35 juta.
Jelas beliau, langkah itu bagi menggalakkan pekebun kecil untuk pengeluaran lateks berbanding skrap memandangkan harga lateks lebih tinggi sebanyak 30 peratus daripada harga skrap. – UTUSAN