ALOR GAJAH: Kira-kira 70 buah rumah di dua daerah di Melaka terjejas selepas dilanda ribut dalam kejadian lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, antara kawasan terjejas adalah di Belimbing Dalam di sini dan beberapa lokasi dalam daerah Melaka Tengah termasuk Krubong, Tanah Merah, Lanjut Manis dan Kampung Ladang.
Di Kampung Belimbing Dalam, kira-kira 30 buah rumah terjejas dengan kebanyakannya bumbung diterbangkan ribut.
Seorang penduduk, Rahmat Alus, 51, memberitahu, ketika kejadian dia bersama lima orang ahli keluarga termasuk ibu berusia 81 tahun sedang berehat di ruang tamu rumah, sebelum tiba-tiba bumbung rumahnya tercabut.
“Kami sekeluarga terus menyelamatkan diri ke anjung rumah, saya terus tidak berani nak pandang ke atas.
“Saya kemudian nampak bumbung bahagian belakang rumah diterbangkan ribut sebelum jatuh kira-kira 50 meter di rumah jiran,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambahnya, ketika kejadian, dia hanya mampu melaungkan azan sambil berpelukan sesama ahli keluarga kerana terlalu terkejut, susulan bencana itu adalah yang pertama berlaku sejak lebih 30 tahun menetap di situ.
Sementara itu, Shahrul Jaapar, 39, pula berkata, dia bersama-sama adiknya serta tujuh anak saudara berlari ke ruang tamu rumah selepas terkejut mendengar bunyi dentuman bumbung yang jatuh.
“Adik saya baharu sahaja habis tempoh berpantang, dia cepat-cepat mendukung dan menyelamatkan bayinya berusia sebulan lebih.
“Saya pula dapatkan enam anak saudara yang lain untuk berkumpul di ruang tamu rumah sambil berharap bumbung di bahagian itu tidak tercabut diterbangkan ribut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam pada 12 tengah malam tadi.
“Seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke PPS tersebut selepas kediaman mereka terjejas teruk dan terputus bekalan elektrik.
“Sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam juga terjejas dalam kejadian ribut petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. –UTUSAN