MELAKA: Peminat aktiviti snorkeling dan skuba berpeluang menerokai lebih 80 spesies karang dan hidupan marin sepanjang tahun tanpa ancaman musim tengkujuh di Pulau Undan di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata, pulau itu bersedia menerima pengunjung dengan menawarkan 81 spesies batu karang, 67 ikan karang dan 77 hidupan marin.
Katanya, Pulau Undan akan dibuka sepanjang tahun kerana perairan itu tidak berdepan ancaman monsun timur laut yang menyebabkan ketidaktentuan cuaca dan laut bergelora.
“Kita mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Pulau Undan untuk menikmati pemandangan dasar laut termasuk batu karang dan hidupan marin, malah ikan Nemo kita juga adalah yang terbaik.
“Pulau ini akan dibuka sepanjang tahun kepada pengunjung, tidak seperti pulau percutian di Pantai Timur yang terpaksa ditutup selama empat bulan bermula Oktober atau November kerana ancaman musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Eksplorasi Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sempena cadangan perwartaan sebagai Taman Laut Negara di sini hari ini.
Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Tambah Azhar, Pulau Undan dalam peringkat untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara dan setakat ini, jumlah pengunjung dihadkan antara 100 hingga 150 orang sehari bagi menjaga ekosistem terumbu karang.
Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Mohd. Fauzi Salehon berkata, usaha menjaga biodiversiti laut itu sedang dilakukan termasuk melabuhkan tukun di perairan pulau-pulau berdekatan.
“Kita akan melabuhkan sembilan unit tukun tiruan kuboid dasar lembut konservasi di perairan di Pulau Dodol, yang berdekatan Pulau Undan.
“Secara keseluruhan 57 tukun dasar lembut juga telah dilabuhkan di perairan Pulau Besar, manakala 23 unit propagasi karang dilabuhkan di Pulau Undan sebagai usaha memulihara kawasan pembiakan serta habitat hidupan marin,” katanya. – UTUSAN