Pulau Pinang dihiasi Tecoma mekar  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang dihiasi Tecoma mekar 

BEBERAPA kawasan di Pulau Pinang berubah wajah selepas dihiasi dengan keindahan bunga Tecoma berwarna merah jambu, ungu dan putih yang sedang mekar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Umpama di Jepun begitulah  beberapa kawasan di negeri ini berubah wajah dengan  dihiasi bunga Tecoma pelbagai warna iaitu  merah jambu, ungu dan putih sedang mekar. 

Keindahan itu dapat dinikmati selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif menanam kira-kira 3,047 pokok Tabebuia spp. atau  dikenali Tecoma di beberapa kawasan di bahagian pulau. 

Bunga-bunga Tecoma yang sedang mekar itu  menarik perhatian ramai peminat seni fotografi untuk merakamkan kenangan di beberapa lokasi antaranya Tanjung Tokong, Jalan Sultan Ahmad Shah, Batu Ferringhi, Bayan Lepas dan Balik Pulau di sini. 

Pokok Tecoma

Pengarah Landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azizul Fahmi Muhamad berkata, pokok Tecoma itu ditanam di sekitar Jalan Sultan Ahmad Shah; tanah lapang di Sunway Tunas; tanah lapang di Sungai Ara, Lilitan Sungai Ara dan Persiaran Bayan Mutiara. 

Lokasi lain katanya,  di Jalan Baru di Balik Pulau; Bukit Gambir di Universiti Sains Malaysia; Persiaran Sungai Emas; Jalan Tengah; Jalan Jelutong, Bulatan Bayan Lepas dan Jalan Bricklin Titi Merah. 

“Tujuan penanaman pokok ini adalah untuk menghijaukan serta mengindahkan kawasan sekitar Pulau Pinang terutama apabila tiba musim pokok ini berbunga,” katanya di sini hari ini. 

Menurutnya, MBPP akan meneruskan usaha penanaman pokok itu di kawasan tanah lapang lain selepas ini bagi mewujudkan suasana  lebih indah di negeri ini. 

Dalam pada itu, pegawai penyelidik Taman Botani Pulau Pinang, D. Thachayni berkata, pokok Tecoma yang sedang mekar kebanyakannya daripada spesies Tabebuia rosea yang mempunyai bunga berwarna putih atau ungu. 

“Pokok ini biasanya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk membesar sehingga bunga pertamanya mekar. 

“Proses untuk pokok ini berbunga akan berlangsung selama satu bulan dan akan mekar selama satu hingga dua minggu,” katanya. 

Tambahnya, terdapat tumbuhan lain yang mempunyai corak berbunga seperti pokok Tecoma iaitu  Lagerstroemia sp. 

“Jika anda mahu melihat kedua-dua spesis ini iaitu Lagerstroemia sp dan  Tabebuia rosea, anda boleh ke Taman Botani Pulau Pinang kerana kedua-dua spesis ini ditanam di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya