JOHOR BAHRU: Proses penamaan calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai diadakan.
Proses berkenaan yang diadakan di 56 lokasi pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri bermula pada pukul 9 pagi sebelum ditutup sejam kemudian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian akan membuat penelitian dan semakan terhadap dokumen dikemukakan semua calon, pencadang dan penyokong sebelum menentukan pengesahan bagi pencalonan mereka.
Ketika ini proses pengumuman calon-calon sedang dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan masing-masing dengan jangkaan 42 kerusi berlaku sekurang-kurangnya pertembungan empat penjuru.
Setelah selesai proses itu, maka secara rasmi tempoh berkempen bagi semua calon yang disahkan bertanding pada PRN Johor akan berlangsung sehingga jam 11.59 malam pada 11 Mac ini.
Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN tersebut.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang merupakan pengundi awal melibatkan 10,955 anggota tentera dan pasangan, manakala 11,576 pula anggota polis selain 376 pengundi tidak hadir luar negara.
SPR juga akan mengadakan sidang akhbar berkaitan urusan penamaan calon PRN Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, tengah hari ini. UTUSAN