PRN Johor: Salahuddin, Aminolhuda antara 16 calon Amanah

PRN Johor: Salahuddin, Aminolhuda antara 16 calon Amanah

MOHAMAD Sabu (depan, tiga dari kiri) bersama 16 calon Amanah yang akan bertanding dalam PRN Johor ketika majlis pengumuman di Hotel Thistle, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) mengumumkan 16 calon yang akan bertanding di bawah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini. 

Turut dicalonkan ialah empat calon ‘heavyweight’ Amanah yang terdiri daripada Timbalan Presiden, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan timbalannya, Dzulkefly Ahmad. 

Suhaizan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang yang sebelum ini disandang Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Taqiuddin Cheman.

Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai akan kekal di DUN Simpang Jeram, sementara Aminolhuda masih di Parit Yaani dan Dzulkefly terus mempertahankan kerusi DUN Kota Iskandar yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). 

Dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah yang dirasmikan oleh Presiden parti itu, Mohamad Sabu, beliau turut mengumumkan lapan calon muka baharu yang akan bertanding buat pertama kali.

Mohamad memberitahu, calon baharu itu melibatkan calon paling muda Amanah, Mohamad Fakrulradzi Mahmud, 32, yang bertanding di kerusi DUN Endau dan calon tertua parti, Mat Khairi Samsudin, 66, yang bertanding di DUN Sedili. 

Enam lagi calon baharu diperkenalkan ialah Ahmad Daniel Shahrudin (Panti), Rohani Banu Abd. Rahman Krishnan (Kahang), Abd. Hamid Jamah (Senggarang), Asim Abdullah Ainollotfi (Serom), Elia Nadira Sabudin (Bukit Pasir) dan Norazila Sanip (Penawar). 

Sementara itu, Muhammad Taqiuddin akan bertanding di DUN Mahkota bagi menggantikan penyandangnya, Muhammad Said Jonit yang menyertai PKR bersama dua lagi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Senggarang dan Serom.

Turut bertanding di kerusi sama dimenangi pada PRU-14 ialah Ketua Wanita Amanah Johor, Nor Hayati Bachok di DUN Maharani dan Dr. Sulaiman Mohd. Noh di DUN Kemelah. Amanah juga sekali lagi cuba mempertaruhkan Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Syed Abdullah di DUN Permas.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kesemua 16 calon yang diperkenalkan itu melepasi tapisan ketat yang ditetapkan selain menepati ciri calon yang berkualiti dan berintegriti tinggi.

“Kita juga mengemukakan empat calon wanita dan tiga pemuda serta kombinasi calon yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang mempunyai kekuatan masing-masing dalam menambat hati pengundi,” katanya.

Mohamad berkata, keputusan yang dibuat tentunya tidak disenangi oleh sesetengah ahli parti namun berharap mereka dapat menerimanya dengan terbuka dan yakin seluruh jentera dan penyokong akan bekerja keras untuk memenangkan calon-calon berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya