PASIR GUDANG: Rakyat Sabah yang menetap dan bekerja di Johor yang sudah berdaftar sebagai pemilih boleh menjadi penentu kemenangan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat ramai rakyat Sabah yang sudah menetap dan berkeluarga di Johor yang menjadi pengundi berdaftar di negeri ini.
Justeru, rakyat Sabah yang menjadi pengundi minoriti itu disaran untuk turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, rakyat Sabah yang mengundi pada PRN kali ini juga diingatkan agar membuat pilihan secara bijak.
“Walaupun Parti Warisan (Warisan) yang berdaftar di Sabah akan bertanding enam kerusi namun, perlu diingat pilihan raya ini adalah untuk memilih kerajaan negeri.
“Sekiranya Warisan berjaya memenangi beberapa kerusi sekali pun namun, mereka tidak mampu membentuk kerajaan negeri,” katanya semasa perjumpaan bersama ketua masyarakat dan pengundi Sabah yang berada di Johor, semalam.
Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut menyelar sentimen yang dimainkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bahawa penyertaan Warisan pada PRN Johor adalah untuk menubuhkan kerajaan Malaysia.
Menurut beliau, kenyataan sebegitu tidak munasabah kerana ini bukanlah Pilihan Raya Umum (PRU) bagi menentukan perubahan kerajaan Pusat.
“PRN ini untuk memilih sebuah kerajaan negeri yang stabil. Semasa BN memerintah Johor telah terbukti keadaan politik di negeri ini stabil dan pertumbuhan ekonomi juga amat baik,” katanya.
Tambah beliau, tiada keperluan untuk rakyat Sabah yang berada di Johor untuk memilih parti (Warisan) yang kucar-kacir yang memperlihatkan ramai ahli dan pemimpin kanannya keluar meninggalkan parti tersebut.
Jelasnya, semasa BN memerintah Johor, kepentingan rakyat Sabah yang menetap dan bekerja di sini tidak pernah diabaikan.
“Pada PRN Johor kali ini, BN memberikan tawaran terbaik demi kestabilan dan masa depan rakyat Johor dan ini pastinya akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah yang bermastautin dan bekerja di negeri ini,” katanya. –UTUSAN