JOHOR BAHRU: Parti Bangsa Malaysia (PBM) memutuskan untuk meletakkan calon di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan 12 Mac ini.
Pengarah Pilihan Raya PBM, Haniza Mohd. Talha berkata, ia melibatkan DUN Puteri Wangsa dan DUN Tiram dalam Parlimen Tebrau, DUN Stulang (Johor Bahru) dan DUN Maharani (Muar).
Beliau berkata, Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon yang juga Ahli Parlimen Tebrau akan bertanding di DUN Puteri Wangsa manakala bekas pegawai khasnya, Mohd. Azmi Ali akan bertanding di DUN Tiram.
Tambahnya, calon termuda PBM, Muhammad Hanis Asmui Md. Salleh, 28, akan bertanding di DUN Maharani dan Muhammad Saiful Bahari Sahari, 33, (DUN Stulang).
“Keputusan awal adalah untuk PBM bertanding di dua kawasan DUN. Bagaimanapun, kajian penilaian lapangan dijalankan mengenal pasti dua lagi kawasan berpotensi untuk kita memperoleh kemenangan,” katanya pada majlis pengumuman calon PBM di Ulu Tiram di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Haniza turut menyampaikan watikah pelantikan calon bagi pihak Presidennya, Larry Sng Wei Shien.
Menurut Haniza, PBM sangat realistik sebelum membuat keputusan masuk gelanggang apabila terlebih dahulu membuat tinjauan di lapangan serta melihat sentimen pengundi di kawasan tersebut yang sudah terbuka dan bersedia untuk memberi ruang kepada parti baharu serta calon ‘segar’ yang ditawarkan parti berkenaan.
“Pengundi sudah jemu dengan parti-parti lama yang bertapak di negara ini kerana sudah tahu akan tindak tanduk mereka. Mungkin kehadiran parti baharu adalah jawapan untuk membela nasib mereka. Calon yang kita tawarkan ini sudah menjalankan kerja di lapangan dengan menyantuni rakyat sebelum dan selepas pandemik. Kami berharap pengundi mampu buat keputusan bijak menilai kaca atau permata,” katanya.
Tambahnya, calon PBM akan membawa aspirasi Agenda The Great Reset 2030 iaitu mengeratkan perpaduan antara kaum, meningkatkan penglibatan golongan muda, memperkasakan peranan wanita, pembangunan ekonomi negara, menjana perkembangan sains dan teknologi serta peningkatan kualiti pendidikan di Malaysia.
PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang disertai oleh PBM yang menjadi medan untuk mengetengahkan iltizam parti dalam usaha membina Malaysia yang lebih inklusif dan progresif untuk masa hadapan. – UTUSAN