PRN Johor: Mohamad Alias tawar politik khidmat di Johor Lama 

PRN Johor: Mohamad Alias tawar politik khidmat di Johor Lama 

MOHAMAD Alias Rasman (duduk, dua kiri) ketika menyantuni pengundi di kawasan DUN Johor Lama sempena PRN Johor di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili yang mencuba nasib dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama menawarkan politik khidmat buat pengundi di kawasan berkenaan.

Mohamad Alias Rasman, 31, yang juga Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi dan seorang peguam berkata, tawaran itu meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial kepada penduduk.

Katanya, idea-idea baharu yang dibawa termasuklah menerusi skop pendidikan khususnya pelaksanaan program untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya celik soal hak dan perlindungan yang diberikan oleh undang-undang.

Jelasnya, DUN Johor Lama melibatkan enam kawasan Felda iaitu Felda Air Tawar 2, Felda Pasak, Felda Air Tawar 3, Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur selain terdapat kampung tradisi dan taman perumahan bandar.

“Saya nampak isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal pewarisan, tanah serta undang-undang. Jadi, andai saya diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat di sini, saya rancang untuk laksana modul pendidikan supaya warga DUN Johor Lama celik kepada undang-undang.

“Saya juga mahu membangunkan ekonomi termasuk kepada orang muda merangkumi generasi kedua dan ketiga di Felda serta golongan muda lain di DUN Johor Lama. Kita akan cipta peluang pekerjaan supaya mereka boleh bergantung kepada ekonomi dalam Felda itu sendiri khususnya menerusi kegiatan perusahaan mikro dan kecil (PMK) termasuk penghasilan makanan.

“Pada masa sama, saya mahu mewujudkan ekonomi di kawasan sekitar bandar Kota Tinggi supaya warga Felda, penduduk dari kampung tradisi dan taman perumahan boleh bekerja di bandar ini,” katanya.

Mohamad Alias berkata, beliau juga akan menumpukan kepada kegiatan pelancongan terutama di sekitar Kampung Johor Lama yang berkaitan sejarah manakala Teluk Sengat yang menjadi tumpuan pemancing beriadah di rumah rakit di perairan Sungai Johor. 

Tambahnya, dari segi sosial pula, aspirasi beliau adalah menjadikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Johor Lama sebagai satu wadah.

“Wadah seperti masjid yang menawarkan program berkaitan kebajikan dan keagamaan seperti sesi tuisyen percuma, kelas agama dan mengaji berjadual serta menyediakan makanan percuma berkala. Inilah yang saya sebutkan sebagai politik khidmat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya