PRN Johor : MIC tetap mahu 4 kerusi tradisi

PRN Johor : MIC tetap mahu 4 kerusi tradisi

M. Saravanan (kanan) bersama Noh Omar melakukan gimik pelancaran sempena Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Perkeso Usahawan Tekun di Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: MIC tetap dengan pendirian untuk kekal bertanding di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, hasrat itu akan disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan yang akan diadakan esok.

“Perjumpaan itu nanti untuk memuktamadkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor. Presiden (MIC) telah sampaikan (pendirian) untuk kita kekal bertanding di kerusi yang kita tandingi sebelum ini.

“Kita di peringkat BN memang mengamalkan konsep perkongsian kuasa dan kita akan membuat pilihan yang difikirkan terbaik untuk parti dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di sini hari ini.

Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam program itu.

Ditanya mengenai permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, beliau memberitahu, pada ketika ini sesiapa sahaja dalam parti mahu bertanding di kerusi yang ada.

Menurut Saravanan, sesiapa sahaja boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang mereka mahukan namun keputusan akhirnya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“Masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN. Itulah kelebihan BN.

“Cuma kita nyatakan pendirian kita, kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada ‘Friends of BN’, asal jangan ambil kerusi kita dan beri kepada orang lain, itu akan mencalarkan imej kita,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R. S. Thanenthiran dilaporkan berkata, pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

Jelasnya, ini kerana Makkal Sakti selaku Friends of BN yang setia bersama BN sejak lebih 14 tahun lalu mahu diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya