PRN Johor: Jangan pasang bahan kempen  di tiang TNB - Utusan Malaysia

PRN Johor: Jangan pasang bahan kempen  di tiang TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua parti politik dinasihatkan tidak memasang bahan kempen di premis dan binaan milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

TNB dalam kenyataan memaklumkan, larangan itu termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara penghantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

“Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik. 

“Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa,” kata TNB.

Menurut TNB, pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

Selain itu, TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Di bawah peruntukan Seksyen 37 (10) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), pelaku boleh didakwa dan jika didapati bersalah, akan didenda tidak melebihi RM25,000.

Sebagai langkah pencegahan, TNB menerusi rondaan rutin akan menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Orang ramai ternampak situasi boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara tidak diingini berlaku. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya