PRN Johor: Calon Muda dikompaun langgar SOP

PRN Johor: Calon Muda dikompaun langgar SOP

AZROL Ab. Rahani (tengah) menunjukkan surat kompaun yang dikeluarkan terhadapnya kerana didakwa melanggar SOP PRN Johor atas perbuatan 'fist-bump' dengan seorang penyokongnya pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menjadi individu pertama bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Azrol Ab. Rahani, yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal membuat penjarakan fizikal iaitu sentuhan tangan di Pusat Penamaan Calon kerusi itu di Dewan Raya Bandar Putra Kulai, kelmarin.

Ketua Penerangan Muda, Luqman Long berkata, sekiranya benar pihaknya melakukan kesalahan, parti itu sedia untuk bertanggungjawab dan membayar jumlah kompaun yang dikenakan.

“Namun, saya telah meneliti SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiada satu larangan menunjukkan tidak boleh untuk membuat ‘fist bump’. Sehubungan itu saya meminta pihak berwajib untuk menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil kerana pihak kami telah cuba untuk mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Muda Bukit Permai, di sini hari ini.

Tambah Luqman, pihaknya turut meminta tindakan penguatkuasaan dibuat secara lebih adil kerana merasakan ramai lagi calon daripada parti-parti lain yang bertanding turut melakukan perbuatan sama.

“Saya tidak mahu menyebut mana-mana nama pemimpin atau parti politik, tetapi rasanya semua boleh lihat sepanjang tempoh beberapa hari ini, pelbagai program dengan penglibatan orang ramai telah diadakan. Jadi kami harap ada pemantauan yang adil bukan sahaja terhadap parti Muda, tetapi semua parti politik yang bertanding dalam PRN Johor,” jelasnya.

Sementara itu, Azrol yang juga Pengerusi Muda Johor mengakui tindakannya melakukan ‘fist-bump’ dengan seorang penyokongnya sebelum memasuki pusat penamaan calon.

“Pada petang hari itu, saya dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulai yang memberitahu mereka ingin bertemu untuk menyampaikan surat kompaun kepada saya. Mereka maklumkan telah menerima aduan daripada orang awam yang mengatakan saya melakukan kesalahan pelanggaran SOP. Walaupun tindakan itu dibuat pada pagi hari, kompaun dikeluarkan pada pukul 6.30 petang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya