KLANG: Kegiatan haram satu sindiket penyeludupan arak tidak bercukai yang bergiat aktif lebih sebulan lalu tumpas selepas digempur pihak berkuasa di Taman Klang Jaya di sini, semalam.
Sindiket dipercayai menggunakan lori dan kereta untuk memindahkan minuman berkenaan di lokasi tertentu sebelum dijual di pasaran tempatan.
Taktik itu bagaimanapun berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang menahan tiga lelaki. Mereka turut merampas sejumlah arak di kawasan parkir taman tersebut, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat dan risikan pihaknya yang sedang menjalankan Op Kontraband.
Katanya, ketika serbuan tiga lelaki berusia 23 hingga 32 tahun itu sedang melakukan aktiviti pemindahan barang di belakang dua lori.
“Hasil pemeriksaan kemudian mendapati mereka memindahkan minuman keras yang tidak bercukai. Selain itu, sebuah lagi kereta jenis Toyota Estima dikesan turut terlibat dalam kegiatan sama di kawasan tersebut.
“Kesemua rampasan minuman keras dan kenderaan itu dianggarkan bernilai RM653,534. Semakan mendapati tiga suspek yang ditahan masing-masing dua warga tempatan dan seorang warga India. Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Pengkalan PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya di sini.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala tangkapan serta rampasan itu diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN