Politik dinamik, tiada masalah pertembungan banyak penjuru - Mahdzir

Politik dinamik, tiada masalah pertembungan banyak penjuru – Mahdzir

MAHDZIR Khalid berucap sempena Lawatan Kerja ke Kejora di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN / RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pertembungan banyak penjuru yang dijangka berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mendatangkan masalah kepada parti-parti politik yang bertanding.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu juga sebahagian daripada amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini  terutama dalam soal pilihan raya.

“Pertembungan (banyak penjuru) ini adalah sesuatu yang dinamik pada musim ini, jadi saya ingat untuk demokrasi tak ada masalah. Kita sudah berada pada tahap peradaban bangsa yang tinggi.

“(Contoh) saya tak ada masalah duduk dengan Pengerusi Kejora (Lembaga Kemajuan Johor Tenggara), saya Naib Presiden UMNO dan beliau daripada parti lain (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya dalam sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar ke Kejora yang turut dihadiri Pengerusi agensi itu, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh.

Mahdzir mengulas pengumuman Parti Warisan Sabah (Warisan) yang menjadi parti terbaharu mengesahkan penyertaan pada PRN Johor, 12 Mac ini yang menjadikan sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru jika parti itu bergerak solo.

Sebelum ini, selain Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut mengesahkan akan meletak calon mereka di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, ketika diminta mengulas ‘serangan’ Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap UMNO termasuk isu ‘kluster mahkamah’, Mahdzir berkata, keputusan terletak di tangan pengundi.

Kata beliau, dalam pilihan raya yang kini berada pada era digital, orang ramai boleh menilai apa-apa perkara yang melibatkan ahli politik.

“Di luar sana ada (masyarakat) kelas pertengahan, teknokrat dan golongan profesional termasuk yang tinggal di kampung jadi penilaian yang akan dibuat mereka adalah pada hari mengundi nanti,” katanya.

Malam tadi, Muhyiddin ketika berucap pada Pentas PN DUN Tenggaroh di Mersing melabelkan UMNO sebagai parti yang perlu dikalahkan dengan lebih teruk berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut mendedahkan usaha dua pimpinan tertinggi UMNO yang terlibat dengan kes mahkamah memohon pertolongannya untuk mencampuri urusan penghakiman itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya