PKR tidak puas hati dengan rakan seangkatan, Muda

PKR tidak puas hati dengan rakan seangkatan, Muda

HALIMEY ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditegur PKR selepas meletakkan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyebabkan pertembungan kedua-dua parti itu walaupun dalam kem sama.

Muda diselar kerana tidak menghormati kesepakatan yang dijalinkan bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan kemenangan gabungan itu di Johor pada 12 Mac nanti.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, Muda seharusnya menghormati keputusan dalam kesepakatan dan mengelak daripada bertembung sesama sendiri yang akhirnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Umum mengetahui PKR meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN Larkin dan tindakan Muda bakal memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada calon BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muda hari ini dalam satu makluman mengumumkan, tujuh calon mewakilinya termasuk di DUN Larkin untuk bertanding dalam PRN Johor dan calon yang diletakkan di kawasan dalam Parlimen Johor Bahru itu adalah Rasid Abu Bakar.

Selain Larkin, Muda turut dilaporkan bertanding di Bukit Permai, Bukit Kepong, Tenang, Machap, Parit Raja dan Puteri Wangsa.

Sementara itu, PKR pula lebih awal  mengemukakan calon untuk DUN Larkin iaitu Dr. Zamil Najwah Arbain yang mewakili partinya bersama 19 calon lain seperti diumumkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Halimey yang tidak berpuas hati dengan tindakan Muda menggesa pimpinan Pusat partinya serta PH menamatkan sebarang kerjasama dengan parti diketuai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“PKR Selangor menggesa sebarang kerjasama politik antara PKR Malaysia dan PH bersama Muda dihentikan serta merta dan gabungan ini meletakkan calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor di setiap kerusi yang ditandingi Muda ,” tegasnya.

Beliau menambah, seluruh jentera pilihan raya PKR dan PH  perlu meningkatkan usaha memberi pencerahan kepada rakyat negeri Johor dan memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa dan mentadbir Kerajaan Negeri Johor. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya