Pinda perlembagaan, beri kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri

Pinda perlembagaan, beri kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri

KERATAN laporan Utusan Online hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan supaya kerajaan negeri dapat memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri untuk menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau jawatan kuasa berkaitan.

Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai || (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Ini bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah Negeri menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri.

“Atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri-negeri,” katanya dalam kenyataan.

MUSA AWANG

Katanya, sebarang semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri sewajarnya dibuat oleh Mahkamah Syariah memandangkan ia adalah forum yang sesuai dan kompeten kerana melibatkan pihak-pihak dalam kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.

“Bagi melaksanakan maksud pindaan tersebut, PGSM menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan satu jawatan kuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya.

Kenyataan PGSM itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibarisi panel sembilan hakim diterajui Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

Ini selepas SIS Forum memfailkan notis usul pada 21 Januari 2020, antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN