ALOR SETAR: Pewaris Kuah Rojak Mak Bee yang sudah lebih 40 tahun berada di pasaran kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang menggunakan nama tersebut untuk melariskan produk mereka.
Pengarah Urusan Mak Bee Utara (M) Sdn. Bhd., Shazana Mahazir, 36, berkata, perkara itu bukan sahaja mengelirukan pelanggan mereka malah menyebabkan kerugian kepada syarikat.
“Sehingga kini ada syarikat lain yang menggunakan nama Mak Bee kadang-kadang Be atau Bee sahaja untuk melariskan produk kuah rojak mereka. Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian tetapi kenapa menggunakan nama Bee, B atau sebagainya sedangkan ada banyak lagi nama lain.
“Saya juga terkejut kerana ada premis yang menjual produk tiruan ini namun mengatakan ia adalah produk Mak Bee walaupun sebenarnya daripada syarikat lain. Saya menerima persaingan sihat dalam perniagaan tetapi ini bukan caranya,” katanya ketika ditemui di premis Mak Bee Mart di sini hari ini.
Shazana yang merupakan generasi ketiga kuah rojak Mak Bee berkata, sejak mengambil alih perniagaan keluarganya itu dia mengesan pelbagai taktik yang kurang sihat daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Bisnes ini dibangunkan oleh arwah nenek saya, Bibi Abdullah sejak 1980 kemudian kepada ibu saya Mimi Rashid, 65, dan kini tertanggung di bahu saya untuk meneruskan perniagaan.
“Saya akui walaupun mempunyai cap dagang sendiri namun masih ada yang tidak segan silu menggunakan nama ini atau menukarkan sedikit seperti B atau Bee. Banyak pelanggan yang keliru malah menganggap itu adalah produk kami,” katanya.
Tambah Shazana, Kuah Rojak Mak Bee yang asli menggunakan bekas trademark berwarna putih hijau dan pada penutup mempunyai cap Mak Bee.
“Kami berharap pelanggan akan meneliti dengan baik bekas ini kerana memang ada produk lain yang menggunakan trademark ini jika tak lihat betul-betul memang mereka sangka itu produk Kuah Rojak Mak Bee,” katanya.
Tambahnya, syarikat berkenaan kini berusaha kerana mempertahankan jenama tersebut walaupun di sebalik pandemik Covid-19.
“Peningkatan kos banyak mendatangkan impak kepada syarikat terutama kos bahan mentah yang asyik naik. Tetapi kami berusaha menghasilkan produk asli dan meneruskan legasi arwah nenek saya ini,” katanya. – UTUSAN