Pesta cari siput remis di pesisir Gurney  - Utusan Malaysia

Pesta cari siput remis di pesisir Gurney 

SURI RUMAH, Mazni Nasir, 32, (kiri) dan Hawa Kadir, 40, mencari siput remis untuk dijadikan hidangan sampingan keluarga di pesisiran pantai Persiaran Gurney, Georgetown, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Siapa sangka di sebalik kepesatan pembangunan melibatkan kawasan penambakan laut di Jalan Gurney di sini, masih terdapat hidupan laut bercengkerang seperti siput remis yang menjadi rezeki kepada penduduk setempat di situ. 

Suasana petang ketika air laut surut menjadi pilihan untuk mereka berkumpul mencari siput remis di kawasan pesisir pantai persiaran Gurney seterusnya dijadikan hidangan sampingan buat keluarga. 

Walaupun terpaksa menghabiskan masa berjam-jam mencari siput di dalam pasir, ia tidak menjadi penghalang buat pencari siput remis mendapatkan hidupan laut tersebut. 

Seorang pencari siput, Mazni Nasir, 32, berkata, dia memperoleh kira-kira dua kilogram siput remis untuk dinikmati bersama keluarga ketika mencari hidupan laut itu semalam. 

Mazni dari  Tanjong Tokong di sini berkata, dia datang ke  pantai itu kira-kira pukul 5 petang bersama empat lagi ahli keluarga. 

“Kami tidak sangka jumlah siput remis banyak kali ini dan tidak seperti selalu, mungkin ombak kuat beberapa hari lalu menghanyutkan spesies siput ini ke sini. 

“Air laut pula surut sehingga malam, jadi kami sempat mencari siput dalam tempoh yang lebih lama,” katanya di sini semalam. 

Mazni, seorang suri rumah berkata, dia tidak bercadang menjual siput berkenaan kerana ingin diagihkan kepada ahli keluarga  yang memang menggemari makanan laut berkenaan. 

“Siput remis ini mempunyai isi  manis serta lembut dan sesuai direbus  untuk dinikmati secara segar,” katanya. 

Dalam pada itu, seorang lagi pencari siput, Hawa Kadir, 40, berkata, dia kerap mencari siput di kawasan itu untuk menambah sumber pendapatan. 

“Hari ini (semalam) saya berjaya mendapat lebih lima kilogram siput selepas hampir tiga jam bergelumang dengan pasir. 

“Kawasan ini memang terkenal dalam kalangan pencari siput, kali ini dapat banyak mungkin kerana faktor air surut yang lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya