PASIR GUDANG: Permintaan untuk pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) perlu dihormati kerana ia memberi pilihan pendidikan kepada ibu bapa buat anak-anak mereka di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, hal itu antara penyebab mengapa ketika pentadbirannya, beliau tetap meluluskan pembinaan SJKC termasuk SJKC Foon Yew di Kulai dan Seri Alam, di sini.
Menurutnya, sepanjang menjadi Perdana Menteri, beliau turut menerima desakan beberapa pihak untuk menghentikan pembinaan sekolah Cina yang baharu.
“Saya berpegang kepada falsafah bahawa pendidikan perlu terbuka kepada semua dan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih pendidikan yang dimahukan. Terdapat permintaan daripada komuniti Cina di negara ini untuk SJKC dan kita perlu menghormatinya,” katanya kepada pemberita selepas melawat SJKC Foon Yew di Bandar Seri Alam, di sini.
Tambah Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, langkah berkenaan telah dipilih dan dilaksana pemimpin terdahulu dan bukan kaedah asimilasi seperti dilaksanakan di Thailand dan Indonesia.
“Pendidikan Cina tidak seharusnya menjadi isu, sebaliknya apa yang lebih penting adalah sekolah berkenaan mendidik hati dan minda generasi akan datang untuk sentiasa mempunyai rasa patriotik kepada negara.
“Sokongan yang diberikan BN kepada pendidikan Cina ini juga diharap dapat menarik sokongan pengundi Cina kerana hanya gabungan ini yang mengamalkan kesederhanaan dan tidak bermain isu perkauman. Saya melihat hanya BN sahaja yang berupaya menubuhkan kerajaan kukuh berbanding Pakatan Harapan, Perikatan Nasional (PN), PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda),” katanya.
Pada 1999, Najib yang ketika itu Menteri Pendidikan telah meluluskan pembinaan cawangan SJKC Foon Yew di Kulai, manakala pada 2016 pula, beliau meluluskan cawangan di Seri Alam. – UTUSAN