KUANTAN: Sebanyak RM25.05 juta bayaran faedah selesai dilunaskan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Pahang yang melibatkan 9,615 kes tuntutan bagi tahun lalu.
Pengarahnya, Tarmizi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, tuntutan tertinggi membabitkan kes jangkitan Covid-19 yang berjumlah RM3.36 juta melibatkan 4,446 kes tuntutan.
Menurutnya, sebanyak 5,139 kes lagi pula merupakan pembayaran lain-lain faedah berkaitan kemalangan, hilang upaya kekal dan juga penyakit kronik.
“Selain itu, bagi skim insurans pekerjaan, sebanyak RM9.1 juta telah dibayar kepada 9,114 pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tarmizi berkata, pekerja yang disahkan positif Covid-19 boleh membuat tuntukan melalui majikan masing-masing.
Katanya, mereka (pekerja) yang disahkan positif Covid-19 di tempat kerja atau Person Under Investigation (PUI) disebabkan pekerjaan dan menjalani tempoh kuarantin boleh membuat permohonan tuntutan Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS).
“Skuad prihatin telah ditubuhkan untuk menyiasat tuntutan di bawah skim berkenaan bagi mempercepatkan urusan bayaran kepada mereka yang terbabit. Siasatan dijalankan sebaik menerima aduan atau mendapat laporan sama ada melalui media cetak, elektronik atau media sosial.
“Dalam urusan tersebut, kita akan mendapatkan nombor kad pengenalan bagi semakan untuk menerima skim faedah Perkeso, jika pemohon itu layak proses pembayaran akan terus dilakukan kepadanya,” katanya. – UTUSAN