Perak sedia dana RM100,000 bantu pesakit katarak

Perak sedia dana RM100,000 bantu pesakit katarak

WAN Norashikin Wan Noordin (tengah) bersama penerima dana perubatan berjumlah RM100,000 di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Ipoh, hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak menyediakan peruntukan RM100,000 bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) di negeri ini yang menghidap penyakit selaput mata atau katarak untuk mendapatkan rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, setiap individu yang layak akan menerima subsidi RM3,000 bagi membiayai kos pembedahan karatak di Hospital Ar-Ridzuan.

Katanya, kemudahan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 33 pesakit berusia 50 tahun ke atas yang telah didiagnos menghidap katarak dan disahkan pakar oftalmologi.

“Dana perubatan Sinar untuk pembedahan katarak merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi membantu golongan B40 yang menghidap masalah katarak mendapatkan rawatan dengan memberi subsidi sebahagian kos pembedahan.

“Kerajaan negeri melantik Hospital Ar-Ridzuan sebagai rakan strategik bagi melaksanakan program itu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Dana Perubatan Sinar untuk pembedahan katarak di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, dana perubatan bagi masalah katarak itu merupakan program ketiga dijalankan selepas Dana Perubatan Wanita untuk pembuatan tapak dialisis dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Ipoh pada 2021 dan Dana Perubatan Warga Emas Perak membabitkan Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) bermula 2019.

Katanya, sejak kedua-dua program itu dilaksanakan, seramai 49 pesakit telah mendapat manfaat.

“Berdasarkan sambutan baik penerima dan perkhidmatan cemerlang hospital berkenaan, kerajaan negeri sekali lagi memperuntukkan RM100,000 untuk kedua-dua program itu pada tahun ini. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban golongan B40 mendapatkan rawatan yang mungkin sebelum ini perlu menunggu lama untuk rawatan sama di hospital kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan untuk menjalin kerjasama dengan hospital lain bagi membantu rawatan untuk penyakit lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN