IPOH: Kerajaan negeri telah membatalkan tender penjualan tapak bekas Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tender penjualan dibatalkan ekoran bantahan ramai pihak terhadap penjualannya.
“Setelah bantahan orang ramai, kita telah membatalkan tender tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyewa tapak istana berkenaan kepada mana-mana pihak selepas tidak menjualnya, Saarani menjawab tidak.
September tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan jualan secara tender terbuka melibatkan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
Tindakan itu mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.
Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.
Bagaimanapun, Saarani kemudiannya mengumumkan penangguhan pelaksanaan proses tender penjualan tapak bekas istana berkenaan bagi membolehkan beberapa kajian terperinci berkaitan tapak itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan bantahan beberapa pihak.
Saarani kemudiannya menghadap Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah pada Oktober lalu, berkaitan isu penjualan tapak istana tersebut.
Menurut Saarani, dalam pertemuan tersebut, baginda menzahirkan pandangan terhadap Istana Raja Muda Perak tersebut dibawa ke mesyuarat Exco untuk dibincangkan bersama. – UTUSAN