BALING: Penduduk terkejut menemukan sebuah perahu lama di tebing Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang di sini, Rabu lalu.
Perahu lama tersebut dipercayai peninggalan pedagang zaman dahulu yang mungkin digunakan sebagai pengangkutan air.
Seorang penduduk, Mohd. Azhar Ismail, 46, berkata, perahu sepanjang sembilan meter itu ditemukan dalam keadaan baik dan kayunya juga masih kukuh serta tidak reput.
“Perahu ini mungkin timbul di tebing sungai kerana air sungai semakin cetek akibat musim kemarau. Keadaan perahu masih baik kerana struktur kayunya masih kukuh, dipercayai dibuat oleh pedagang dahulu dengan menggunakan sejenis kayu yang tahan lama,” katanya di sini.
Katanya, perahu tersebut dipercayai digunakan oleh pedagang terdahulu yang berulang alik melalui Sungai Ketil untuk berdagang.
“Ia mungkin berusia kira-kira 100 tahun, namun strukturnya kayu dan bentuknya masih dalam keadaan terpelihara dan tidak reput,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga telah menghubungi Jabatan Muzium bagi memaklumkan tentang penemuan mengenai perahu itu. – UTUSAN ONLINE