BUTTERWORTH: Seorang penterjemah bahan bacaan tulisan Braille orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) komited menterjemah bahan bacaan sebanyak 3,460 buah buku sejak 2006.
Mohd. Hazani Abdullah, 38, berkata, meskipun serba kekurangan, ia tidak menghalangnya menabur bakti bagi memastikan golongan senasib celik ilmu dan tidak ketinggalan.
“Selain memikul amanah dan tanggungjawab, perkhidmatan yang saya lakukan ini disifatkan juga sebagai fardu kifayah iaitu untuk membantu golongan OKU penglihatan mendapatkan ilmu pengetahuan berikutan sumber bahan bacaan Braille adalah begitu terhad lebih-lebih lagi di perpustakaan awam.
“Antara bahan bacaan yang diterjemahkan ke dalam tulisan Braille termasuklah novel, buku cerita kanak-kanak, majalah, kertas peperiksaan sekolah rendah dan menengah serta naskhah akademik,” katanya ketika ditemui di PPAPP, di sini baru-baru ini.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, setiap bulan beliau akan memastikan sebanyak 15 bahan bacaan diterjemah ke dalam bentuk tulisan Braille menggunakan perisian bersuara ‘Jaws’ serta alat pengimbas dan bacaan yang menggunakan perisian ‘OpenBook’.
Katanya, sebelum diterjemah ke dalam tulisan Braille, proses mengimbas dan menyunting bahan bacaan dilakukan terlebih dahulu menggunakan komputer yang dilengkapi perisian bersuara ‘Jaws’ yang akan menterjemah sebarang teks dari buku asal.
“Selepas proses imbasan dan suntingan teks dilakukan, saya akan melakukan proses menaip menggunakan mesin Braille seterusnya akan menjilid buku,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Mula mengalami masalah penglihatan sejak berumur dua tahun disebabkan demam panas, Mohd. Hazani berkata, selain menterjemah bahan bacaan Braille, beliau turut menterjemah teks khutbah Jumaat atas permintaan seorang imam OKU penglihatan di sebuah masjid di Juru, dekat sini tahun lalu.
“Bacaan teks khutbah Jumaat itu diterjemah setiap bulan sejak bulan Oktober lalu.
“Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran dan bergantung kepada permintaan sesebuah masjid,” tambahnya.
Beliau berkata, dengan adanya sumber bacaan Braille di perpustakaan awam secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat tanpa mengira kekurangan diri tentang kesedaran menguasai bahan bacaan. -UTUSAN