Penolong Pegawai AADK salah guna kuasa didakwa

Penolong Pegawai AADK salah guna kuasa didakwa

CT Ashlida Che Mat Razali (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan bagi mencadangkan nama syarikat milik sendiri dan syarikat adik kandungnya bagi mendapatkan projek di AADK Sepang pada tahun 2016 dan 2017.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penolong pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Sepang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, CT Ashlida Che Mat Razali, 39, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan rasuah dengan mencadangkan nama syarikat Muqriz Jaya Enterprise, yang dimilikinya bagi pembekalan perkhidmatan Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah berharga RM5,160 melalui permohonan pesanan tempatan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mac hingga April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan iaitu mencadangkan nama syarikat New Sapphire Enterprise yang dimiliki adik kandungnya bagi perkhidmatan makan, cenderahati dan gegantung (banner) dengan harga RM1,000 melalui permohonan pesanan tempatan antara Februari hingga April 2017.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam bela, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan tertuduh diarah melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 5 April hadapan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN