Penjaja Pantai Puteri rasa ‘bahang’ Omicron - Utusan Malaysia

Penjaja Pantai Puteri rasa ‘bahang’ Omicron

KEADAAN sebuah gerai di Pantai Puteri, Melaka yang lengang kerana kehadiran pelancong ke pantai berkenaan merosot selepas sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pendapatan penjaja di sepanjang Pantai Puteri dekat sini merosot sehingga 40 peratus susulan penurunan kehadiran pelancong selepas kes jangkitan harian Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan di sepanjang pantai berkenaan lengang dan tidak sibuk seperti kebiasaannya.

Seorang penjaja, Muhammad Amin Amir, 56, berkata, perniagaannya berjalan dengan baik dan gerainya sentiasa penuh dengan kehadiran pelancong selepas rentas negeri dibenarkan pada Oktober tahun lalu.

Menurutnya, ketika itu dia sendiri tidak menang tangan melayan pelanggan meskipun pada hari biasa.

Katanya, bagaimanapun peningkatan kes mencecah lebih 20,000 sehari disebabkan varian Omicron telah menyebabkan segalanya berubah.

“Hujung minggu biasa sibuk kerana pelanggan yang datang silih berganti. Bagaimanapun, kehadiran pengunjung dilihat semakin berkurangan yang menyebabkan pendapatan saya merosot sehingga 40 peratus. Majoriti pelanggan saya adalah pelancong.

“Kes positif Covid-19 yang tinggi ketika ini juga antara faktor orang ramai memilih untuk duduk di rumah. Saya harap keadaan ini tidak akan berterusan dan penularan Covid-19 tidak bertambah buruk dalam masa terdekat,” keluhnya ketika ditemui di sini.

Sementara itu seorang lagi penjaja, Adnan Ghailan, 69, turut senada apabila peningkatan kes Covid-19 mempengaruhi kehadiran pelancong.

Katanya, kebanjiran pelancong sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina dua minggu lalu membuatkan peniaga di pesisir Pantai Puteri tersenyum lebar kerana memberi limpahan rezeki buat mereka.

“Tetapi, seminggu selepas itu kehadiran pelancong mula menurun hampir separuh daripada biasa. Pendapatan saya turut terjejas sekitar 15 peratus.

“Pelanggan yang singgah dalam kalangan penduduk setempat sahaja. Mungkin orang luar bimbang untuk melancong berikutan kenaikan mendadak kes Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya