SUNGAI PETANI: Cubaan seorang pengutip tin membunuh diri gagal selepas dipujuk anggota bomba setelah memanjat bumbung bangunan lima tingkat Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abd. Rahman berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh petugas pondok pos pengawal IPD Kuala Muda pada pukul 4.45 petang sebelum pihaknya bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Sungai Petani untuk bantuan penyelamat.
Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.15 petang dan mengambil masa selama 30 minit untuk memujuk lelaki tersebut dan dibawa turun dengan selamat.
Katanya, hasil semakan mendapati lelaki tersebut yang berusia 47 tahun telah datang ke IPD Kuala Muda pada pukul 1.10 pagi untuk membuat laporan polis yang mendakwa dia diekori lelaki tidak dikenali.
“Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati suspek mengalami halusinasi dan didapati kurang siuman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, suspek didapati naik ke bumbung bangunan itu melalui pintu besi penghubung bumbung yang tidak berkunci kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan bumbung yang bocor.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri,” katanya. – UTUSAN