Pengawal keselamatan AADK dituduh perdaya lelaki - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan AADK dituduh perdaya lelaki

MASLAN Atan (kiri) mengaku tidak bersalah atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk memberikan RM5,500 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengawal keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang lelaki untuk memberi RM5,500 bagi membantu membebaskan tunangnya dari sebuah pusat pemulihan dadah, empat tahun lalu.

Tertuduh, Maslan Atan, 59, mẹmbuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 28 tahun yang mendorongnya untuk menghantar wang berjumlah RM500 ke akaun bank miliknya.

Ia bertujuan membantu mengeluarkan tunang kepada lelaki itu yang berusia 25 tahun daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, Kelantan.

Dia melakukan kesalahan berkenaan di Pasir Gudang East (F1) Lot 110911, KM 29 Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru pada 11.10 malam pada 12 Oktober 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu lelaki sama dengan curangnya hingga mendorongnya untuk menghantar wang tunai RM5,000 bagi tujuan sama di kafe Bangunan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, Johor Bahru pada 10 pagi, 18 Disember 2018.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu yang bertugas di AADK Kota Tinggi didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sampai lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan Jalaluddin, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Salleh Tugimin.

Pihak pendakwaan mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan RM20,000. Bagaimanapun, Mohd. Salleh memohon jaminan dikurangkan memandangkan Maslan masih menyara isteri dan seorang anak berusia 21 tahun serta memiliki komplikasi kesihatan termasuk darah tinggi.

Hakim Ahmad Kamal Ariffin membenarkan suspek diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN